Atlet perlu bermain untuk masa depan sendiri dan pasukan – Mirnawan

"Sebagai pemain hoki mereka harus tahu ketika bermain buat negara adalah sesuatu yang merugikan jika mereka tidak berpeluang beraksi di Olimpik Tokyo 2020 nanti.

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara diingatkan agar bermain untuk kepentingan dan masa depan sendiri dan pasukan jika mahu melakar sejarah meraih pingat emas pertama pada Sukan Asia 2018 sekali gus menghidupkan peluang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata peluang yang disifatkan berada di depan mata itu perlu disahut secara serius dalam memberi bayangan pasukan kendalian Stephen Van Huizen bersungguh-sungguh menginginkan misi itu dapat dicapai.

“Sebagai pemain hoki mereka harus tahu ketika bermain buat negara adalah sesuatu yang merugikan jika mereka tidak berpeluang beraksi di Olimpik Tokyo 2020 nanti.

Kalau kita tengok pengorbanan yang mereka lakukan, saya tekankan di sini agar mereka bermainlah buat diri sendiri serta pasukan untuk memastikan pengorbanan mereka selama ini berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas hadir memberi motivasi buat pasukan hoki lelaki negara di sini pada Selasa.

Menurut Mirnawan, skuad Malaysian Tigers itu mampu melakukan kejutan berdasarkan pencapaian semasa mereka ditambah dengan keputusan hasil undian temasya di Jakarta itu.

“Saya tak rasa ianya mustahil sebab pada tahun 2010, kebanyakan pemain yang berada di dalam skuad itu telah mencipta sejarah layak ke peringkat akhir dan memenangi pingat perak,” katanya.

Skuad Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Bangladesh, Oman,Thailand dan Kazakhstan sementara Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan India, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka, Hong Kong dan Indonesia

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad lelaki negara pada siri Sukan Asia ialah berada di kedudukan kedua pada edisi 2010 di Guangzhou, China, apabila tewas 0-2 kepada Pakistan di final.

Kategori
BeritaSukanUtama