Demikian reaksi Tan Sri Annuar Musa selepas Presiden Persa­tuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menuntut kepimpinan terdahulu tidak lepas tangan berhubung isu tunggakan hutang badan induk itu.

Annuar berkata, Bibi Ramjani sepatutnya sudah tahu risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila membuat keputusan untuk me­rebut jawatan tersebut pada Kongres KAFA tahun lalu.

Menurutnya, hutang KAFA bukan bersifat peribadi dan siapa yang menerajui badan itu perlu memikul tanggungjawab untuk melunaskan perkara tersebut.

“Sewaktu pengurusan bertukar pada tahun 2008, saya sebagai Presiden KAFA yang baharu ketika itu turut memikul beban hutang terdahulu.

“Saya tidak pernah menyuruh kepimpinan terdahulu membayarnya. Takkan benda senang dan straight forward macam ini pun buat-buat tidak faham,” katanya.

Kosmo! semalam melapor­kan, usahawan batik itu mahu kepimpinan KAFA terdahulu membantu melunaskan tunggakan hutang badan induk tersebut yang masih tertunggak.

Annuar membe­rita­hu, Bibi Ramjani se­patutnya memahami konsep aset dan liabiliti.

Katanya, belum pernah ada persatuan atau syarikat yang hanya diambil alih aset tanpa melibatkan liabiliti.

“Saya tidak faham sistem apa yang diguna pakai kalau hendak ambil aset sahaja. Tidak mahu am­­bil liabiliti itu sistem apa?” soalnya.

Annuar yang juga bekas Pre­siden KAFA berkata, beliau percaya semua pihak yang menawarkan diri untuk jawatan itu memahami isu tunggakan hutang tersebut.

Sepanjang lapan tahun me­mim­pin KAFA, Annuar berjaya meletakkan Kelantan sebagai pa­sukan digeruni dalam arena bola sepak Malaysia apabila me­rangkul kejuaraan trebel musim 2013 selain beraksi di pentas Asia.