Abu Bakar puji ‘Kancil’

“Saya tidak pasti bagaimana nama timangan itu diperoleh Hafiz, namun ia memang bertepatan dengan tuan punya badan walau daripada sudut mana kita bercakap mengenai diri pemain berkenaan.

SESUAI dengan nama timangannya, ‘Kancil’, penyerang PKNP FC, Hafiz Ramdan ternyata memiliki ciri-ciri bertepatan dengan gelaran itu.

Bagi jurulatih kelab berkenaan, Abu Bakar Fadzim, nama timangan itu boleh membawa pelbagai definisi apabila memperkatakan mengenai diri Hafiz.

“Saya tidak pasti bagaimana nama timangan itu diperoleh Hafiz, namun ia memang bertepatan dengan tuan punya badan walau daripada sudut mana kita bercakap mengenai diri pemain berkenaan.

“Kalau kita memperkatakan mengenai saiz tubuhnya yang kecil, nama itu memang sesuai untuk dirinya. Jika kita samakan pula dia dengan Sang Kancil yang terkenal dengan kecerdikannya, ternyata Hafiz memiliki ciri-ciri itu.

“Malah, jika orang menyamakan Hafiz dengan kereta Kancil, ia juga sangat secocok dengan dirinya. Bagi saya, jika Hafiz diibaratkan kereta, dia adalah Kancil berkuasa turbo kerana kepantasannya,” ujar Abu Bakar.

Jurulatih itu ternyata tidak dapat mengelak daripada memperkatakan mengenai kelebihan dimiliki Hafiz kerana sejak perpindahan Shahrel Fikri Md Fauzi ke kelab Thailand, Nakhon Rachasima, Jun lalu, pemain berusia 25 tahun itulah yang mengambil alih peranan sebagai pemacu utama PKNP.

Apatah lagi apabila pemain import seperti Franklin Anzite hanya memberi harapan palsu kepada Abu Bakar sehingga beliau terpaksa mengambil langkah berani menggunakan dua import, Ritus Krjauklis dan Kim Sang Woo sahaja untuk kempen Piala Malaysia.

Ternyata percaturan Abu Bakar meminjam Hafiz daripada pasukan Perak pada perpindahan kedua musim lalu sesuatu yang berbaloi bukan sahaja untuk kelab berkenaan malah kepada pemain itu sendiri.

“Saya mengikuti perkembangan karier Hafiz sejak 2011 ketika dia bersama pasukan remaja Perak. Dia memiliki bakat besar tetapi agak tenggelam musim lalu kerana saingan yang terlalu sengit dengan kehadiran ramai pemain bintang dalam pasukan itu.

“Saya fikir daripada dia memanaskan bangku simpanan bersama Perak, lebih baik saya memanfaatkan kemampuannya untuk PKNP. Ternyata, dia menggunakan peluang yang saya berikan dengan sebaik mungkin.

“Hari ini, saya boleh katakan Hafiz adalah pemain penting PKNP yang menjadi penyelamat keadaan ekoran prestasi hambar pemain import.

“Dia bukan sahaja seorang pemain yang lincah dan pintar malah memiliki sifat kepimpinan yang tinggi walaupun bertubuh kecil. Atas faktor itu, saya melantiknya sebagai kapten selepas Shahrel berhijrah ke Thailand,” kata Abu Bakar.

Kategori
BeritaSukanUtama