ERA Perang Dingin diakhiri dengan kejatuhan Soviet Union pada 1991. Amerika dengan megah muncul sebagai kuasa unipolar yang dianggap tidak mampu dicabar oleh mana-mana negara. Negara ‘Uncle Sam’ tersebut yang ketagihan perang mula menjadikan Islam sebagai sasaran utama menggantikan Soviet Union. Langkah tersebut mula dicetuskan melalui idea seorang saintis politik Amerika yang bernama Huntington.

Samuel P. Huntington

Beliau bukan sekadar ahli akademik di Universiti Harvard, bahkan merupakan arkitek kepada perubahan dasar luar Amerika terutamanya selepas berakhirnya Perang Dingin. Huntington pernah menjawat posisi penting di pos-pos yang strategik dalam pentadbiran Amerika. Antaranya:

●     Pengarah The Center for International Affairs.

●     Presiden kepada American Political Science Association.

●     Penyelaras Security Planning for the National Security Council.

Melihat kepada kedudukan Huntington, maka tidak hairanlah cetusan dan tulisan-tulisannya amat berpengaruh sebagai perintis kepada langkah-langkah politik Amerika.

Pertembungan peradaban Antara Islam dan Barat

Buku yang cukup terkenal bertajuk “The Clash of Civilizations & The Remaking of World Order” pada asalnya merupakan artikel dari majalah Foreign Affairs yang diterbitkan pada 1993. Tajuk tersebut menjadi perdebatan hangat hingga ia dikembangkan lalu dibukukan pada 1996. Berdasarkan tajuknya sahaja, kita dapat menghidu motif provokatif yang sengaja dilancarkan agar dunia mengetahui bahawa Amerika sedang mengisytiharkan musuh baharunya secara jelas.

Huntington sendiri memperakui dalam pendahuluannya, bahawa buku “The Clash of Civilizations” merupakan penafsiran kepada perubahan politik global sesudah Perang Dingin. Ia bukanlah karya ilmiah sosial. Sebaliknya menggambarkan kerangka strategi dan paradigma dalam berdepan dengan politik global yang perlu disusun oleh strategis-strategis terutamanya dari Amerika.

Demi mendefinisikan siapakah Amerika selepas Perang Dingin, Huntington mengemukakan teori betapa penting Amerika mengumumkan siapakah musuhnya sekarang. Beliau menggesa agar Amerika memberi fokus kepada Islam kerana ia satu-satunya peradaban yang masih berpotensi mengancam survival hegemoni Barat, khususnya Amerika.

Dari cetusan Huntington tersebut, Amerika menjalankan propaganda-propaganda yang dapat menjustifikasikan kononnya Islam adalah agama yang sememangnya ganas dan mengancam. Lantas dipropagandakan persepsi yang mendapat sokongan dunia, bahawa Islam yang diwatakkan sebagai karektor ganas itu sangat wajar diperangi. Berlangsungnya langkah strategi ini, mengheret dunia agar terbelah menjadi dua kutub. Iaitu “Islam vs Barat”.

Dr Adian Husaini di dalam bukunya bertajuk “Wajah peradaban Barat dari Hagemoni Kristian ke Dominasi Sekular Liberal” mengemukakan sanggahan bahawa meskipun buku-buku Huntington amat popular, namun ia sukar dijadikan sebagai rujukan ilmiah berkenaan peradaban. Hal ini juga disedari oleh Huntington. Seakan-akan beliau berpengaruh kerana menjadi jurucakap kepada kehendak sebenar Barat walaupun dengan argument-argument yang berat sebelah.

Perhatikan Malaysia

Pada tahun 1996, Huntington mengingatkan Barat jangan biarkan Malaysia dan Indonesia bebas memajukan ekonominya. Jika perkembangan tersebut tidak ditangani awal, tidak mustahil ia akan memunculkan model Islam yang bakal menggugat pengaruh Barat. Apatah lagi rantau Melayu ini memiliki jumlah penduduk umat Islam yang paling ramai di dunia jika dibandingkan dengan rantau-rantau lain. Bukan sembarangan.

Ekoran dari kebimbangan tersebut, pada tahun 1997 berlaku krisis ekonomi ke atas negara-negara Asia termasuk Malaysia dan Indonesia. George Soros dipertanggungjawabkan ke atas serangan tersebut.

Di samping itu pada jangkaan Huntington, perkembangan generasi muda Islam yang berada di Malaysia dan Indonesia bakal meledakkan kebangkitan Islam. Ia merupakan ancaman yang tidak harus dipandang enteng oleh Barat.

Apabila kita mengikuti paranoid Barat terhadap Islam, maka mudahlah kita memahami mengapa Amerika menjalankan program-program pembaratan berupa Liberalisasi ke atas rantau kita melalui badan-badan mereka. Ia sebagai reaksi sabotaj ke atas potensi bangkitnya umat Islam di Malaysia dan Indonesia.

Tegar anti Islam

Dalam tulisan terakhir Huntington yang diterbitkan pada tahun 2004 bertajuk “Who Are We? The Challanges to Americas National Identity”, beliau didapati lebih vokal berterus terang menyatakan mesej anti Islamnya. Huntington mendefinisikan golongan yang kononnya digelar sebagai “Islam Militan” sebagai kelompok yang bercirikan:

●     Anti Amerika

●     Tidak semestinya mengangkat senjata. Cukup dengan melakukan protes dan demonstrasi aman.

●     Menjalankan kempen-kempen sosial ke arah kesedaran Islam.

●     Menyertai pilihan raya dengan membawa agenda Islam.

Maka dari pendefinisian yang dikemukakan oleh Huntington, tidak hairanlah jika penganut-penganut fahaman Barat terutamanya golongan Liberalis cukup benci dengan gerakan Islam sungguhpun mereka menggunakan pendekatan yang paling lunak untuk bersama dengan masyarakat.

Titik buta

Dakwaan-dakwaan dari Barat kononnya Islam adalah agama pengganas yang mengancam keselamatan global, sebenarnya bermula dari dasar luar Amerika selepas Perang Dingin yang mensasarkan Islam sebagai musuh prima. Sepatutnya sebelum menuduh kononnya Islam adalah agama ekstrim serta umatnya gemar mendiskriminasi orang lain, cuba fikirkan realiti dunia hari ini.

Adakah umat Islam sebagai pemangsa yang menceroboh negara orang lain lantas melakukan pembantaian, ataupun umat Islam hanya menjadi mangsa kepada krisis yang sengaja dicipta di tanah air mereka sendiri? Ini merupakan persoalan pokok yang menentukan siapakah pengganas yang sebenarnya. Namun malang, ia adalah titik buta yang sengaja dibutakan oleh masyarakat dunia dan politik global.

Samuel P. Huntington telah mati pada tahun 2008, meninggalkan legasi serta corak politik global yang menjadikan Islam sebagai musuh utama Amerika selaku peneraju kepada blok Barat. Apa yang berlaku ke atas umat Islam hari ini, merupakan kesan dari cetusan Huntington 25 tahun yang lalu.