Gubal Undang-Undang Baru Tangani Berita Palsu, Langkah Bijak

Langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menggubal undang-undang baru untuk mengekang berita palsu di laman internet adalah langkah bijak yang diusahakan kerajaan Pusat.

SHAH ALAM: Langkah kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menggubal undang-undang baru untuk mengekang berita palsu di laman internet adalah langkah bijak yang diusahakan kerajaan Pusat.

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata banyak pihak tidak boleh menafikan betapa negara kini dibanjiri dengan terlalu banyak berita palsu hingga menggugat kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Malah ujarnya, undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sudah tidak lagi relevan dan mampu menangani masalah tersebut, sementelah ia sudahpun berusia 30 tahun.

“Bukan akta yang dibentuk ini mesti tidak bercanggah dengan akta sedia ada tetapi mesti berpegang kepada senario semasa.

“Akta percetakan itu sudah lama, dan bila ianya mula ditubuhkan namun landasan alam maya itu masih belum ada, media sosial masih belum ada pada masa itu.

“Tetapi hari ini telah berubah, jadi sebab itu diperlukan satu akta baru khusus untuk menangani penularan berita yang berlaku di alam maya kerana pada ketika ini semua orang tidak kira wartawan atau rakyat biasa boleh menerbitkan pendapat mereka secara pantas dan dapat dibaca dengan cepat.

“Kesannya, cepat sekali, sebab itu akta baru ini mesti menepati kehendak semasa,” katanya

Awal Januari tahun ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru bertujuan membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Jawatankuasa tersebut sudah bermesyuarat buat kali pertama minggu lepas dengan dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Menurut Azalina, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju jawatankuasa itu disertai badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen untuk memastikan usaha kerajaan menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak serta melalui proses perundingan semua pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut Azmi berkata pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berasa tergugat dengan adanya undang-undang baru ini, jika tidak melalukan sebarang kesalahan.

“Penularan berita palsu ini bukan hanya berlaku kepada satu kumpulan sahaja, ianya juga berlaku kepada kumpulan yang menyokong kerajaan.

“Kumpulan yang menyokong pembangkang, mereka juga terkesan daripada aktiviti berita palsu ini.

“Saya melihat aktiviti berita palsu ini tidak mengenal ideologi politik, tidak mengenal dari bangsa mana, kumpulan rakyat itu, tidak mengenal NGO yang menyokong kerajaan ataupun tidak, semunya terkesan dan terbabit,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pembentukan undang-undang bagi mengekang berita palsu itu bertujuan menyekat rakyat daripada mengkiritik kerajaan.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang juga menyifatkan undang-undang baru itu akan mensasarkan pemimpin pembangkang.

Susulan itu, Azalina dalam satu kenyataannya bertegas undang-undang tersebut tidak seperti  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara, sepertimana yang diamalkan pada zaman Dr Mahathir dahulu.

Kategori
Uncategorized