PERLUKAH CAJ KONSULTASI KLINIK DINAIKKAN KETIKA RAKYAT DIBEBANI KOS HIDUP TINGGI WAKTU INI?

Kementerian Kesihatan perlu berhati-hati menaikkan yuran konsultasi di klinik swasta peningkatan mendadak menghalang pengguna mendapatkan rawatan mudah yang akhirnya membawa kesan lebih teruk.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kenyataan mengingatkan kerajaan bahawa inflasi perubatan di Malaysia adalah salah satu yang tertinggi di rantau ini.

Sementara, rakyat pula dibebani kos sara hidup tinggi ketika ini.

Justeru, Presiden SM Mohamed Idris dalam kenyataannya berkata sebarang peningkatan yuran perundingan seharusnya tidak lebih tinggi berbanding kadar inflasi.

Beliau melahirkan rasa bimbang peningkatan mendadak menghalang pengguna mendapatkan rawatan mudah yang akhirnya membawa kesan lebih teruk.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan perlu berhati-hati menaikkan yuran konsultasi di klinik swasta seperti dicadangkan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan yuran konsultasi kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35.

Semakan caj tersebut dikatakan memang sudah masanya, berikutan kali terakhir dilaksanakan pada 2006.

Sementara, di Kuching, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Kerajaan Persekutuan perlu sensitif kesukaran

dihadapi rakyat ketika ini.

“Rakyat sudah berdepan kenaikan harga beberapa barangan keperluan, yang jelas membebankan khususnya kumpulan berpendapatan rendah,” kata Rundi memetik laporan Utusan Borneo pada Rabu.

Menteri Utiliti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu meminta kerajaan meneliti cadangan sebelum melaksana meningkatkan kadar yuran konsultasi doktor di klinik swasta.

Kerajaan perlu mengambil kira semua pandangan ini termasuk dari NGO, pemimpin serta suara rakyat yang sedang berdepan ekonomi sukar ketika ini.

Walaupun kenaikan caj ini melibatkan klinik swasta, ia akan turut memberi kesan kepada klinik kerajaan apabila perkhidmatan ini mendapat limpahan kunjungan pesakit secara mendadak.

Kategori
Rencana