Wenger kesal kekal di Arsenal selama 22 tahun

"Saya menyesal mengorbankan semua yang saya lakukan kerana saya menyakitkan ramai orang di sekeliling saya," katanya.

PARIS: Arsene Wenger berkata, kekal selaku pengurus Arsenal hampir 22 tahun mungkin menjadi kesilapan paling besar sepanjang kariernya dan beliau menyesal mengorbankan “apa saja” untuk tugasnya itu.

Bekas jurulatih berusia 68 tahun dari Perancis itu yang dilantik pada Oktober 1996, meninggalkan kelab utara London itu hujung musim lalu selepas menang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA.

Dalam temu bual bersama rangkaian televisyen Perancis, RTL, Wenger berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai masa depannya “dalam beberapa bulan lagi.”

Ketika ditanya apa kesilapan besar dalam kariernya, Wenger berkata: “Mungkin kekal di kelab yang sama untuk 22 tahun.

“Saya seorang yang sukakan perkara baru, seperti perubahan. Tapi saya juga sukakan cabaran. Saya seperti dipenjara kerana sukakan cabaran pada setiap masa.”

Wenger mengakui beliau terlalu ghairah dalam memastikan kejayaan Arsenal, sambil menambah kehidupan peribadinya menjadi perkara paling sukar selaku pengurus.

“Saya menyesal mengorbankan semua yang saya lakukan kerana saya menyakitkan ramai orang di sekeliling saya,” katanya.

“Saya tidak mempedulikan orang ramai. Saya tidak mempedulikan keluarga, saya tidak mempedulikan ramai kawan rapat. Jauh di sudut hati, jurulatih yang terlalu ghairah ini terlalu tamak untuk mengejar apa yang disukainya.”

Wenger juga yakin bekas pemain Arsenal, Thierry Henry dan Patrick Vieira, yang kini mengejar karier kejurulatihan, memiliki kualiti untuk berjaya di tahap tertinggi.

Vieira kini menjadi jurulatih Nice manakala Henry, penolong pengurus Belgium pada Piala Dunia, meletak jawatan selaku pengkritik Sky Sports untuk memberi fokus bagi menjadi jurulatih. – Reuters

Kategori
BeritaSukan