Wanita Indonesia dituduh bunuh Jong-nam dakwa ditipu

54 LONDON: Wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mendakwa dia diperdaya kononnya bakal mengambil bahagian dalam satu rancangan realiti televisyen....

LONDON: Wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mendakwa dia diperdaya kononnya bakal mengambil bahagian dalam satu rancangan realiti televisyen.

Menerusi perbualan telefon penjara bersama ibunya, Siti Aisyah, 26 memberitahu bahawa dia bersama seorang wanita Vietnam dikenali sebagai Doan Thi Huong, 30, diarah mengambil bahagian dalam satu kejadian yang kononnya dirancang untuk mengenakan individu lain.

Peguam Siti, Gooi Soon Seng yakin anak guamnya itu akan dibebaskan kerana bukti yang terdapat dalam kes itu adalah secara tidak langsung dan tiada saksi melihat tertuduh melakukan serangan ke atas mangsa.

“Kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan secara jelas dia melakukan perbuatan itu dan tiada kesan ejen saraf VX ditemui pada tertuduh,” katanya.

Menurut Soon Seng, Siti tidak pergi ke tandas dan membasuh tangannya selepas insiden berkenaan atau cuba meninggalkan Malaysia, sebaliknya pergi membeli belah sebelum kembali bertugas.

The Guardian melaporkan, Siti menghubungi ibunya setiap beberapa hari dan dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan tekanan dihadapi di dalam penjara. malah kadang kala turut tertawa semasa berbual namun pada masa sama, meluahkan rasa simpati terhadap Doan Thi Huong. – Agensi

Kategori
BeritaDunia