Taufan Lane dijangka badai Hawaii

69 HONOLULU: Hawaii bersiap sedia menghadapi serangan taufan berkuasa dengan penduduk menyimpan stok bekalan air, makanan dan kecemasan. Taufan Lane yang lemah sedikit berukuran ribut kategori 4 semalam, membawa...

HONOLULU: Hawaii bersiap sedia menghadapi serangan taufan berkuasa dengan penduduk menyimpan stok bekalan air, makanan dan kecemasan.

Taufan Lane yang lemah sedikit berukuran ribut kategori 4 semalam, membawa angin berkelajuan 250 kilometer sejam dan dijangka membadai Pulau Besar menjelang malam Rabu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa penduduk bersiap sedia menghadapi taufan itu, yang dijangka membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.

“Sesiapa yang berada di laluan #HurricaneLane tolong bersiap sedia, patuhi nasihat kerajaan dan pegawai tempatan serta ikuti maklumati terkini di @NWSHonululu. Berjaga-jaga!,” kata Trump dalam pesanan Twitter terbaru beliau.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, amaran taufan dikeluarkan untuk daerah Maui dan Hawaii sementara pemerhatian taufan dilakukan di Kauai serta Oahu.

“Pusat taufan Lane akan berada hampir dengan Kepulauan Hawaii bermula Khamis hingga Sabtu,” katanya.

Ia menambah, walaupun Lane diramalkan beransur lemah dalam tempoh 48 jam berikutnya, ia kekal ribut sebagai ribut berbahaya ketika menghampiri Kepulauan Hawaii.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan turut memberi amaran kerajaan tetap perlu bersiap sedia terhadap potensi yang mengancam nyawa tanpa mengambil kira laluan sebenar ribut itu. – Reuters

Kategori
BeritaDunia