Syed Saddiq buat warga Indonesia terpegun

Agak melucukan juga apabila ramai netizen, khususnya wanita, meninggalkan komen pada gambar yang dimuat naik Jokowi, meminta nama akaun Instagram Syed Saddiq.

SEMEMANGNYA Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, mempunyai aura tersendiri.

Kehadiran beliau ke Indonesia adalah untuk menyelesaikan isu keselamatan atlet negara, susulan provokasi penonton Indonesia ke atas pemain bola sepak negara bawah 19 tahun, selain membincangkan dan meninjau persiapan Sukan Asia 2018.

Tiba di Indonesia malam Jumaat, jadual Syed Saddiq sepanjang hari nampaknya penuh, antaranya mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

Kedua-dua tokoh itu tidak ketinggalan memuat naik gambar bersama Syed Saddiq ke akaun Instagram, dan ia pantas mencuri tumpuan rakyat negara itu.

Bukan sahaja kerana ketampanannya, malah ramai yang kagum dengan fakta bahawa Malaysia memilih seorang anak muda yang baru berusia 26 tahun, sebagai menteri.

Ramai dalam kalangan mereka yang mencadangkan kepada Jokowi agar Indonesia mengambil langkah yang sama dengan memberi peluang kepada golongan belia menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

Agak melucukan juga apabila ramai netizen, khususnya wanita, meninggalkan komen pada gambar yang dimuat naik Jokowi, meminta nama akaun Instagram Syed Saddiq.

Pemerhatian netizen juga mendapati pengikut akaun Instagram Syed Saddiq bertambah kira-kira 100,000 hanya selepas sehari beliau di Indonesia.

Kategori
BeritaSukan