Dalam saingan tersebut, Khe Wei dan pasangannya, Vivian Hoo terpaksa menarik diri ketika perlawanan terikat 10-10 pada set pertama, sekali gus menghadiahkan mata percuma buat Vietnam yang diwakili oleh Vu Thi Trang-Nguyen Thuy Linh.

Susulan itu, jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty enggan menekan butang panik tetapi tidak menolak kemungkinan terpaksa melakukan rombakan pada aksi kedua Kumpulan Y menentang Filipina hari ini,.

“Setakat ini saya tidak tahu bagaimana serius kecederaan yang dialami oleh Khe Wei. Mungkin dia bakal direhatkan pada perlawanan kedua tetapi saya hanya akan menentukan keputusan tersebut pada saat akhir.

“Saya juga tidak menolak akan ada perubahan dalam pa­sukan dan kemungkinan gan­dingan baharu akan diturunkan, namun saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan barisan jurulatih.

“Secara jujur, saya tidak panik dengan kecederaan Khe Wei kerana sekiranya dia beraksi pun pasukan belum terjamin mendapat kemenangan.

“Jus­teru, ia membuka peluang dan saya percaya pemain lain sudah bersedia untuk diturunkan sekiranya dipilih,” kata­nya ketika ditemui pemberita semalam.

Sementara itu, Pei Tty turut gembira apabila gandingan beregu kedua negara, Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching mencatat kemenangan 21-7, 21-18 ke atas pasangan Vietnam, Dinh Thi Phuong-Do Thi Hoai.

“Pasangan beregu kedua kami telah menunjukkan kualiti yang bagus walaupun ini adalah kali pertama mereka digandingkan. Namun, saya masih nampak kelemahan khususnya di bahagian taktikal dan saya harap ia dapat diperbaiki pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Kejohanan kali ini turut menjadi penentu terhadap kelayakan skuad wanita negara ke pentas Piala Uber 2018 yang akan berlangsung di Thailand, Mei depan.

Selepas aksi menentang Fili­pina, Malaysia dijadualkan bertemu dengan pasukan pilihan, Thailand yang dianggap sebagai penentu ke peringkat suku akhir esok.