Azizulhasni di tempat keenam dalam keirin lelaki

Pingat emas diraih pelumba Australia Matt Glaetzer, perak dimenangi Lewis Oliva dari Wales sementara gangsa menjadi milik Edward Dawkins dari New Zealand

BRISBANE: Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang gagal menaiki podium dalam acara kegemarannya, keirin lelaki pada Sukan Komanwel 2018, di sini hari ini.

Dalam perlumbaan akhir di Velodrom Anna Meares, pelumba berusia 30 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Pingat emas diraih pelumba Australia Matt Glaetzer, perak dimenangi Lewis Oliva dari Wales sementara gangsa menjadi milik Edward Dawkins dari New Zealand.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni bermula dengan cemerlang apabila layak ke pusingan kedua dengan menduduki tempat teratas pada Saringan 1.

Sementara itu, dua lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

— BERNAMA

Kategori
Sukan