“Ia adalah kemenangan yang sangat bermakna dan penting sebagai persediaan bagi menghadapi Piala AFC.

“Meskipun kami dilihat ­sebagai pasukan underdog untuk kejohanan akan datang tetapi saya harap kejayaan kali ini sebagai pembakar semangat ­kepada pemain untuk berdepan pasukan yang lebih hebat 
pada saingan AFC nanti,” ­katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang semalam.

Dalam aksi final di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya kelmarin kelekaan barisan pertahanan negara membawa padah apabila Myanmar mencipta kejutan dengan meledak tiga gol dalam tempoh tujuh minit Win Naing Tun dan Myat Kaung Khant.

Skuad remaja negara sebelum itu telah mendahului dua gol pada awal perlawanan menerusi jaringan Awang Muhamamd Faiz dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Bagaimanapun, pasukan kebangsaan mula menemui ren­tak pada babak kedua selepas berjaya kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Shivan Pillay Asokan pada minit ke-75 sebelum Nik Akif melengkapkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada waktu kecederaan, sekali gus menamatkan penantian Malaysia untuk menjulang trofi berkenaan sejak 16 tahun lalu.

Sementara itu pembantu jurulatih, Hairuddin Omar berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh skuad negara kerana Malaysia sudah lama menantikan untuk menjulang piala tersebut.

“Meskipun skuad negara dilayan dengan teruk oleh penyokong Indonesia sebelum ini, namun semangat yang ditunjukkan mereka tidak luntur, malah beraksi dengan lebih bersema­ngat di pentas final.

“Saya melihat keazaman pemain untuk melakar sejarah sangat terserlah kerana mereka telah menunjukkan kesungguhan yang amat baik untuk bangkit pada babak kedua perlawanan.

“Pada masa sama, saya merasakan kejayaan ini adalah hadiah buat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebagai pemangkin semangat untuk mereka terus menerajui bola sepak negara pada masa akan datang,” ujarnya.

Keputusan perlawanan tersebut menyaksikan skuad kebangsaan berjaya menamatkan pe­nantian selepas lima kali hanya menjadi naib juara dan kali ter­akhir pada tahun lalu apabila tewas 0-2 kepada Thailand di pentas final untuk kejohanan yang sama di Myanmar.