Real dikatakan bersedia menerima harga perpindahan £88 juta (RM468.9 juta) daripada Juventus ke atas Ronaldo.

Ronaldo dikatakan bersetuju dengan tawaran itu setelah berbincang dengan Presiden Juventus, Andrea Agnelli hari ini di sebuah hotel di Greece.

Pertemuan itu diadakan ketika pemain berusia 33 tahun tersebut sedang bercuti di Greece bersama keluarganya.

Awal pagi ini Real telah mengesahkan mengenai perpindahan pemain bintangnya itu.

Dalam satu kenyataan, kelab tersebut mengakui telah memberi kebenaran kepada Ronaldo meninggalkan mereka.

“Hari ini, Real Madrid ingin melahirkan penghargaan kepada seorang pemain terbaik di dunia dan telah mencatat namanya sebagai antara bintang hebat dalam sejarah kelab kami dan juga dunia bola sepak.

“Selain pelbagai gelaran, trofi dan kejayaan yang dicapai ketika sembilan tahun bersama kami, Cristiano Ronaldo telah menjadi satu contoh tentang makna sebenar dedikasi, kerja keras, tanggungjawab, bakat dan pencapaian hebat,” kata kenyataan Real.

Sementara itu, Ronaldo turut berterima kasih kepada Real kerana menjadikan kariernya di kelab tersebut sebagai antara episod paling gembira dalam hidupnya, namun menambah dia berasa telah membuat keputusan yang tepat untuk berhijrah.

“Saya percaya masanya telah tiba untuk saya membuka babak baharu dalam hidup saya dan sebab itu saya meminta Real menerima tawaran pembelian ke atas saya.

“Ia adalah keputusan saya dan saya berharap semua orang terutamanya peminat saya supaya memahaminya,” jelas Ronaldo dalam satu kenyataan yang dibuatnya.

Ronaldo telah meninggalkan satu legasi di Real Madrid dengan pelbagai rekod dan trofi yang menanginya.

Sepanjang sembilan tahun bersama Real, dia berjaya menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam kelab tersebut dengan 450 gol dan memenangi dua gelaran La Liga serta empat trofi Liga Juara-Juara.

“Bagi Real Madrid, Cristiano Ronaldo akan sentiasa menjadi antara simbol terhebat dan penanda aras yang unik bagi generasi akan datang.

“Real Madrid akan sentiasa berada dalam hatinya,” kata kenyataan Real lagi. ‘- Agensi