#undirosak lahir dari kekecewaan terhadap pembangkang – Tiong Lai

Saya merasakan 'kekecewaan' itu merujuk kepada parti pembangkang. Pembangkang telah mengelirukan keadaan.

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan gerakan undi rosak yang sedang tular di media sosial adalah disebabkan kekecewaan sesetengah pihak terhadap pembangkang.

Tegas Menteri Pengangkutan itu, ia berikutan pembangkang telah mengelirukan rakyat dengan menyebarkan berita palsu dan fitnah.

“Saya merasakan ‘kekecewaan’ itu merujuk kepada parti pembangkang. Pembangkang telah mengelirukan keadaan. Kerajaan sedang berusaha keras untuk mewujudkan semangat positif dalam usaha membangunkan negara bangsa.

“Walaupun kerajaan sentiasa bersikap positif untuk berusaha mewujudkan persefahaman antara rakyat tetapi inisiatif berkenaan dihalang dengan tindakan negatif dilakukan pembangkang.

“Namun, kita lihat pembangkang terus menyebarkan berita negatif, kebencian kalangan rakyat dan memecahbelahkan rakyat. Ia mengelirukan rakyat dengan berita palsu. Perkara ini semua telah menyusahkan rakyat kerana ia suatu yang sangat negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan “Going 50: People Behind The TARC History” di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, dengan tindakan berkenaan, rakyat dilihat muak dengan situasi tidak sihat yang cuba diwujudkan pembangkang.

“Rakyat mahu melihat usaha membangunkan negara bangsa dan bukan memusnahkan negara ini. Jadi cukup-cukuplah pembangkang untuk melakukan semua perkara negatif ini,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini melalui blog najibrazak.com menggesa rakyat Malaysia agar tidak merosakkan undi dan terpengaruh dengan gerakan merosakkan undi oleh pihak tertentu, kononnya kerajaan dan pembangkang tidak menguntungkan rakyat.

Beliau bagaimanapun mengakui wujud kelemahan di kedua-dua belah pihak, namun rakyat boleh membuat pilihan antara kerajaan sedia ada dan pembangkang dengan menilai pembangunan yang telah dilaksanakan.

Sehingga kini, gerakan dan kempen #undirosak tular di media sosial terutama Facebook dan Twitter dengan mendakwa perbuatan merosakkan undi adalah tidak menyalahi mana-mana undang-undang.

Kategori
BeritaPolitik