TUTUP ‘PUSAT KEAMANAN’: SAUDI AKAN TERKILAN, KATA NAJIB

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Arab Saudi akan terkilan apabila Malaysia menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), badan yang ditubuhkan untuk mengekang fahaman pelampau dan militan.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Arab Saudi akan terkilan apabila Malaysia menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), badan yang ditubuhkan untuk mengekang fahaman pelampau dan militan.

Bekas perdana menteri itu berkata KSCIP, yang mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 30 Mei tahun lepas, dicadangkan oleh Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz Al-Saud.

“Mereka baik dengan kita, kita dapat layanan dan banyak pertimbangan daripada Arab Saudi,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

“Mereka memilih Malaysia berbanding banyak negara lain,” katanya, dan menambah penutupan itu bermakna Malaysia menolak bantuan Saudi dalam kempen memerangi fahaman pelampau dan militan.

Semalam, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan operasi KSCIP yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.

Beliau berkata fungsi badan itu diserap Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), sebuah institusi di bawah Kementerian Pertahanan.

Penubuhan KSCIP dikritik PH terutama pimpinan Amanah. Mereka mempertikaikan kelayakan Saudi mewujudkan pusat seperti itu memandangkan doktrin rasmi negara itu, Wahabisme, menjadi ilham kepada fahaman IS.

PH mengumumkan pusat itu akan dikaji semula selepas membentuk kerajaan.

Kategori
Politik