Tun Mahathir obses jatuhkan kerajaan – Rahman Dahlan

Beliau (Tun Mahathir) terlalu obses untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib.

SEPANGGAR: Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang terlalu obses dalam menjatuhkan kerajaan.

Beliau berkata, Tun Mahathir jelas sekali tidak mempedulikan institusi negara yang mana beliau sering memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir dan memimpin kerajaan akar umbi.

“Beliau (Tun Mahathir) terlalu obses untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Pada dia, biarlah negara ini hancur, biarlah institusi-institusi kemelayuan itu hancur, biarlah parti keramat Melayu iaitu UMNO ini hancur.

“Asalkan beliau puas hati menjatuhkan Datuk Seri Najib sampaikan dia sanggup untuk dipergunakan oleh DAP,” katanya.

Abdul Rahman beramah mesra dengan para petani dan pengunjung yang hadir.

Abdul Rahman beramah mesra dengan para petani dan pengunjung yang hadir.

Beliau berkata demikian sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Inanam Kali Ke 28 dan Majlis Perasmian Agrobazaar, Penyampaian Zakat dan Bantuan Khas Subsidi Padi Bukit di Taman Fuliwa, Inanam, di sini, hari ini.

Jelas Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir tidak harus memperjudi dan mencemarkan maruahnya dalam menaikkan nama serta parti baharu beliau hanya untuk menentang Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Sementara itu, Rahman yang juga calon BN P.171 Sepanggar berkata majlis yang diadakan ini adalah cukup bersejarah baginya kerana Datuk Jumat Idris turut hadir bagi merasmikan majlis sekali gus menamatkan spekulasi ‘percakaran’ antara mereka berdua.

“Tiada perpecahan. saya sudah bagitahu dari awal saya konsisten bahawa kita mahu supaya Datuk Jumat berada di dalam warga besar BN.

“Kita tahu beliau (Datuk Jumat) tidak akan menderhaka ataupun berpaling tadah kerana beliau antara orang yang memperkasakan UMNO di kawasan ini. Jumat juga merupakan seorang individu yang bekerja kuat dalam memastikan UMNO masih utuh dan kuat,” katanya.

Abdul Rahman bersama salah seorang penerima Majlis Perasmian Agrobazaar.

Abdul Rahman bersama salah seorang penerima Majlis Perasmian Agrobazaar.
Kategori
Politik