Tun Mahathir mohon maaf isu ‘mati katak’ Memali

Ini semua orang tahu, bahawa Pas memang mengkafirkan UMNO, sebab itu saya perlu jawab, (namun) mungkin perkataan saya itu terkasar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf susulan keterlanjuran katanya apabila membuat kenyataan bahawa mangsa tragedi Memali sebagai mati katak.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook, Tun M berkata keterlanjuran itu adalah berpunca daripada rasa marahnya atas tuduhan yang dilemparkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepadanya.

“Sebenarnya, saya bercakap mengenai Memali kerana Hadi lebih awal lagi menuduh saya terbabit dengan kematian polis dan orang ramai dalam peristiwa Memali.

“Baru-baru ini, dia (Hadi) berkata macam-macam terhadap saya, termasuk mendakwa saya diperalat oleh DAP, selain dia berkata Pas tidak pernah mengkafirkan UMNO,” ujarnya.

“Ini semua orang tahu, bahawa Pas memang mengkafirkan UMNO, sebab itu saya perlu jawab, (namun) mungkin perkataan saya itu terkasar. Saya minta maaflah kepada keluarga yang terbabit dalam kejadian Memali,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau yang merupakan Perdana Menteri ketika insiden berdarah itu berlaku turut menjelaskan, individu yang perlu dipertanggungjawabkan atas kematian anggota polis dan penduduk kampung adalah Abdul Hadi sendiri.
Yang terkorban dalam tragedi Memali pada 19 November 1985 sebagai ‘mati katak’ dan bukan mati syahid.

“Jika Hadi tidak berkata bahawa seseorang itu mati syahid bila melawan kerajaan, maka tentu tidak berlaku kes Memali.

“Ia berlaku kerana kepercayaan bahawa kematian apabila membunuh polis kerajaan adalah mati syahid, sedangkan al-Quran secara terang mengatakan kita tidak boleh membunuh dan tidak boleh membunuh orang Islam,” tambahnya.

Dalam ucapannya di sesi Ceramah Perdana bersama calon PKR di Lembah Pantai pada Khamis, Dr Mahathir membuat dakwaan bahawa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi Memali pada 19 November 1985 sebagai ‘mati katak’ dan bukan mati syahid.

Kategori
Politik