Saya bukan calon payung terjun – Chew Mei Fun

Kerjaya politik saya bermula dari Raub oleh itu pucuk pimpinan BN menghantar saya ke Raub kali ini,
RAUB: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Raub, Datin Seri Chew Mei Fun menegaskan bahawa beliau bukanlah sekadar calon payung terjun diletakkan pucuk pimpinan BN di kerusi parlimen itu.

Namun ujarnya, beliau cukup sinomin dengan permasalahan sekali gus mempunyai hubungan rapat dengan penduduk di Raub sejak dahulu lagi.

“Pada 1992, saya telah turun padang untuk melakukan aktiviti bersama komuniti di Sungai Ruan, Raub. Selepas itu pada 1994 hingga 1995, saya dilantik sebagai setiausaha sulit Ahli Parlimen pada waktu itu iaitu Datuk Teng Kek Guan.

“Kerjaya politik saya bermula dari Raub oleh itu pucuk pimpinan BN menghantar saya ke Raub kali ini,” katanya kepada Astro Awani.

Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA berkata keputusan meletakkan calon sepertinya bukanlah tradisi Barisan Nasional (BN).

Jelas Mei Fun beliau juga yakin MCA mempunyai peluang cerah menawan semula Raub selepas kekalahan kepada Arif Sabri Abdul Aziz @ Sakmongkol 47 yang tidak bertanding mempertahankan kerusinya akibat masalah kesihatan.

Sebaliknya, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Raja Puji, akan mengambil alih tanggungjawab tersebut.

Pada PRU13, DAP menang kerusi Parlimen Raub buat pertama kali dengan majoriti 2,814 undi.

Menurut Mei Fun, beliau yakin bahawa masyarakat di Raub sedar akan kesilapan dilakukan mereka yang memilih wakil rakyat yang tidak pernah turun padang.

“Pada pilihan raya lalu MCA kalah kerana isu dalaman. Kami mengubah calon pada saat-saat akhir dan ia menyebabkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Tetapi kali ini kami lebih bersedia. Saya sudah turun padang sejak tiga tahun lalu bagi memastikan kemenangan BN kali ini.

“Lebih meyakinkan kali ini adalah sokongan tidak berbelah bahagi parti komponen yang sentiasa membantu. Kali ini, BN lebih kuat dari sebelumnya,”  katanya.

Mengakui bukan mudah untuk merampas kembali Raub, Mei Fun berkata peluang BN berada di paras 50-50 dan apa sahaja bakal berlaku pada waktu itu.

Sementara itu PAS membariskan Dr Mohamad Nilam Abdul Manap sebagai calon bagi mencabar Mei Fun dan Tengku Zulpuri.

Dr Mohamad Nilam merupakan seorang doktor gigi yang berasal dari Dong, Raub.

Kategori
Politik