Rasional pandangan TMJ untuk kepentingan Johor dan negara – Reezal

Banyak pandangan TMJ berkisar kerisauan seorang kerabat Raja berkait perjalanan siasah dan maslahah negara.

KUALA LUMPUR: Rasional pandangan dan gerak hati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan politik Johor dan Malaysia bukanlah satu bentuk campur tangan istana dalam suasana politik tanah air.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia adalah pandangan ikhlas seorang Tunku Mahkota dan wajar dihormati dan dihargai oleh rakyat.

“Islam meletakkan peranan ruang siasah sebagai alat membina negara dan menjaga maslahah. Banyak pandangan TMJ berkisar kerisauan seorang kerabat Raja berkait perjalanan siasah dan maslahah negara.

“Suara rasional insan berpengaruh seperti TMJ tidak wajar dipinggirkan. Sikap sebahagian netizen yang membidas ‘suara hati’ Tuanku ini amat dikesali. Dalam konteks Malaysia, paksi tunjang sebuah kerajaan adalah akal budi sistem kesultanan Melayu yang ada.

“Adab yang wajar, untuk kita sebagai rakyat adalah mengambil teguran dan pandangan TMJ sebagai jalur jati diri kita dalam membuat keputusan politik. Secara peribadi, pandangan itu bukan sahaja untuk rakyat Johor; malah seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tunku Ismail pada Sabtu bertitah kepada rakyat negara ini untuk membuka mata dan tidak terpengaruh dengan apa yang dikatakan oleh individu berusia 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri.

Titah Tunku Ismail dimuat naik dalam laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

Dalam pada itu kata Reezal, cabaran menghebat negara tidak sepatutnya diterasi dengan politik kesumat dan dendam.

“Politik individu ‘lidah bercabang’ seperti yang diungkap TMJ perlu kita perhalusi dengan teliti.

“TMJ punya hak untuk bersuara dan menyedarkan rakyat jelata. Hak ini tidak terpinggir, malahan terabsah dengan kedudukan TMJ sebagai pewaris takhta negeri Johor Darul Takzim dan jajahan takluknya.

“Setiap hati rakyat wajar terusik dengan teguran tersebut. Ingatan TMJ tidak berakhir di sempadan siasah negeri Johor. Ia ingatan buat sekalian rakyat Malaysia,” jelasnya.

Kategori
Politik