Pulau Pinang Serah Pada PH Pusat Tentukan Status Enam Lagi Kerusi

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyerahkan kepada PH Pusat untuk menyelesaikan agihan enam kerusi yang bertindan membabitkan PKR, Amanah dan PPBM.

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyerahkan kepada PH Pusat untuk menyelesaikan agihan enam kerusi yang bertindan membabitkan PKR, Amanah dan PPBM.

Enam kerusi berkenaan adalah Bertam, Sungai Dua, Telok Ayer Tawar, Sungai Acheh, Pulau Betong dan Telok Bahang.

Kesemua enam kerusi itu ditandingi PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun kalah.

DAP tidak terlibat kerana kepada parti itu, status quonya kekal. Pada tahun 2008 dan 2013, parti itu bertanding 19 kerusi dan menang semuanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi untuk ditandingi. DAP adalah penyandang di 19 kerusi, PKR (10), Umno (10) dan PAS (1).

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata parti-parti itu tidak dapat mencapai persetujuan mengenai jumlah kerusi

“Ini akan diputuskan oleh majlis presiden. PKR sedia berkongsi kerusi dengan BERSATU dan AMANAH,” katanya dipetik Malaysiakini.

“Bagaimanapun, kami ingin bertanding di beberapa kerusi di mana kami telah melakukan kerja-kerja persediaan asas, kerana kami yakin dapat memenangi lebih banyak kerusi kali ini, walaupun kami mungkin menghadapi pertarungan tiga penjuru,” kata Afif.

Pesuruhjaya Amanah negeri, Datuk Mujahid Yusof Rawa pula berkata parti itu berharap untuk bertanding di lima kerusi negeri, yang sebelum ini ditandingi PAS.

Amanah merasakan ia mempunyai peluang menang di kerusi-kerusi berkenaan kerana pengundi di sana lebih cenderung untuk memilih calon PH dan parti serpihan PAS itu telah melakukan kerja-kerja persediaan asas di kawasan berkenaan sejak 2015.

Permatang Pasir (yang kini dipegang oleh PAS), Permatang Berangan (Umno), Penaga (Umno), Sungai Dua (Umno) dan Bayan Lepas (Umno) adalah kerusi-kerusi yang mahu ditandingi AMANAH, kata Mujahid.

“Walaupun kita semua ada tuntutan masing-masing dan kita merasakan bahawa kita perlu lebih praktikal dengan angka, tetapi kita tidak dapat mencapai penyelesaiannya. Jadi kita menyerahkan keputusan itu kepada jawatankuasa pusat kita,” tambah ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Rundingan telah dilaporkan terhenti apabila PPBM mahu bertanding di semua kerusi Umno.

Umno, yang berdepan dengan PAS dan PKR, memenangi 11 kerusi negeri pada 2008 dan 10 pada 2013.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa negeri-negeri yang tidak dapat menyelesaikan agihan kerusi sehingga hari Jumaat (hari ini) mesti menyerahkannya kepada majlis presiden untuk diputuskan.

 

 

 

Kategori
Politik