PPBM Ikut Jejak Langkah PH Saman Ros

Pucuk pimpinan PPBM hari ini memfailkan saman terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan PPBM hari ini memfailkan saman terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.

Parti PPBM yang diwakili Peguam Hanif Khatri mengemukan saman pemula dengan bertujuan untuk memperolehi beberapa perintah deklarasi berkaitan parti berkenaan.

Ujar beliau lagi, PPBM juga menuntut mahkamah untuk mengkaji tindakan RoS yang sengaja melengah-lengahkan proses pengesahan status Mesyuarat Tahunan (AGM) parti itu.

“Di mana dari masa ke semasa pihak ROS telah keluarkan pelbagai kenyataan kepada orang awam, kononnya PPBM lakukan beberapa kesalahan bawah perlembagaan PPBM mahupun Akta Pertubuhan.

“Walaupun PPBM dari masa ke masa telah hubungi RoS melalui perbincangan dan surat namun, tiada balasan atau respons positif yang diberikan pihak RoS kepada pihak PPBM.

“Oleh itu, memandangkan perkara ini masih persoalan dan tanda tanya orang awam dan RoS tidak beri maklum balas positif. Maka tiba masa PPBM bawa perkara ini (kepada) mahkamah supaya mahkamah dapat teliti dan beri keputusan adil samada RoS sendiri yang telah langgar kewajipan di bawah undang-undang”,ujar Hanif kepada pemberita di lobi mahkamah.

Hadir bersama Setiausaha Agung PPBM, Tan Sri Shahruddin Md Salleh dan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Mohd Nor menggesa agar RoS memberi penjelasan lebih lanjut tentang isu ini.

RoS sebelum ini memaklumkan PPBM berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya dan tidak dapat mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika gagal mengadakan AGM.

Susulan itu, parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu mengadakan AGM mereka pada 30 Disember lalu, namun ahli akar umbi mendakwa mesyuarat itu tidak sah ekoran pemilihan perwakilan ke AGM tidak dibuat ikut perlembagaan parti.

Ini kerana tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan hadir AGM pertama itu.

Selain itu, perhimpunan untuk Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi juga tidak diadakan.

 

Kategori
Politik