PKR Tanding Paling Banyak Kerusi Di Selangor

PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56 kerusi di Selangor, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) masing-masing hanya mendapat sembilan dan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum 14.

SHAH ALAM: PKR akan bertanding sekurang-kurangnya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56 kerusi di Selangor, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) masing-masing hanya mendapat sembilan dan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum 14.

Perkara itu didedahkan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim, lapor portal Malaysiakini.

Izham berkata, berikutan rundingan kerusi pada 8 Mac lalu, DAP akan bertanding di semua 15 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2013.

Rundingan itu berjaya diputuskan selepas Pakatan Harapan (PH) Selangor menyelesaikan agihan 50 kerusi pada mesyuarat kali ketiga yang diadakan dua minggu lalu.

Jawatankuasa yang dilantik juga memutuskan untuk merujuk enam kerusi selebihnya yang masih belum diselesaikan kepada pimpinan PH negeri.

Kerusi yang masih belum diputuskan adalah Lembah Jaya, Seri Serdang, Sungai Panjang, Kota Damansara, Dusun Tua dan Sungai Burong.

“PAS bertanding tujuh kerusi parlimen dan 20 kerusi negeri pada 2013. Sebagai sebuah parti yang ditubuhkan untuk menggantikan PAS, kami meminta bertanding (hanya) lima kerusi parlimen dan 13 kerusi negeri.

“Kami berjaya mendapatkan kesemua lima kerusi Parlimen yang kami minta tetapi kami hanya memperoleh sembilan kerusi DUN daripada 13 yang kami minta,” kata Izham.

Kerusi-kerusi DUN yang diberikan kepada AMANAH adalah dua kerusi yang ada – Ulu Kelang dan Morib – serta tujuh kerusi yang ditandingi PAS iaitu Bangi, Chempaka, Meru, Taman Templer, Paya Jaras, Sabak dan Ulu Bernam.

“Selain Ulu Bernam, selebihnya kerusi dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya 2013,” katanya.

AMANAH juga akan mempertahankan tiga kerusi parlimen – Kota Raja, Shah Alam dan Sepang – dan dua kerusi parlimen yang disandang PAS, iaitu Hulu Langat dan Kuala Selangor.

PKR akan mempertahankan dan bertanding di 14 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya lalu serta lima kerusi lain yang tewas kepada Umno iaitu Permatang, Bukit Melawati, Kuang, Semenyih dan Dengkil.

Sementara itu, PPBM akan bertanding di tiga kerusi disandang BN – Batang Kali, Jeram dan Sungai Ayer Tawar serta empat kerusi PAS, iaitu Batang Kali, Gombak Setia, Sijangkang dan Selat Kelang.

Pengerusi PH Selangor yang juga menteri besar, Datuk Seri Azmin Ali yang mengambil alih rundingan kerusi di peringkat akhir, telah bertemu wakil-wakil AMANAH secara peribadi, kata Izham.

“Beliau beritahu saya bahawa AMANAH tidak boleh minta banyak kerusi dan saya katakan tidak,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai apa yang berlaku antara beliau dan Azmin semasa perbincangan dijalankan.

Izham juga berkata empat parti itu perlu mengkaji laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Katanya, sekiranya persempadan pilihan raya baru tidak memihak kepada mana-mana parti, mereka mungkin perlu menukar kerusi.

Mengenai enam kerusi yang dipertikaikan, beliau berkata empat parti meminta untuk bertanding di Lembah Jaya, sebuah kerusi bandar yang terdiri daripada 54 peratus pengundi Melayu dan 32 peratus kaum Cina.

Tiga parti kecuali DAP juga mahu bertanding di Sri Serdang manakala PPBM dan PKR masing-masing mahu meletakkan calon di Sungai Panjang dan Kota Damansara.

Tiga parti membuat tuntutan di Dusun Tua sementara AMANAH dan PPBM masing-masing mahu bertanding di Sungai Burong.

Kategori
Politik