PH Umum Agihan Kerusi Di Pulau Pinang

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulau Pinang pada malam tadi.

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pulau Pinang pada malam tadi.

Portal Malaysiakini melaporkan, pengumuman itu dijadual akan dibuat pada satu majlis yang diadakan di Padang Kota Lama, jam 8 malam.

Pengumuman oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu dijangka akan menamatkan spekulasi mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti komponen PH.

Selain Lim, pemimpin tertinggi PH termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadiri majlis malam ini.

Dilaporkan bulan lalu rundingan kerusi di negeri ini menghadapi jalan buntu dan telah dirujuk ke majlis presiden PH.

Tiada kerusi tambahan untuk DAP yang akan bertanding di 19 kerusi yang ditandingi dan dimenanginya pada tahun 2013.

Menurut sumber, PPBM akan bertanding di kawasan Melayu di Penaga, Bertam, Permatang Berangan dan Teluk Bahang.

Teluk Bahang sebelum ini ditandingi PKR, manakala Penaga dan Permatang Berangan ditandingi PAS. Ketiga-tiga kerusi itu dimenangi oleh Umno pada tahun 2013.

Walaupun Amanah meminta untuk bertanding di Penaga dan Permatang Berangan, ia kini diserahkan kepada PPBM.

Umno menang 10 kerusi di negeri ini, satu kerusi kurang daripada yang dimenanginya pada 2008.

PKR, yang memenangi 10 daripada 16 kerusi ditandinginya dalam PRU13, sebelum ini menyatakan bahawa mereka bersedia berkongsi kerusi dengan sekutu baru Amanah dan PPBM. Namun parti itu kini akan bertanding di 14 kerusi.

PKR akan bertanding di Teluk Air Tawar, Pinang Tunggal, Seberang Jaya, Penanti, Macang Bubuk, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Sungai Bakap dan Sungai Acheh di tanah besar, dan Kebun Bunga, Batu Uban, Pantai Jerjak, Batu Maung dan Pulau Betong di pulau.

Amanah gagal mendapatkan lima kerusi yang diminta, tetapi berjaya memperoleh kerusi Sungai Dua, Permatang Pasir dan Bayan Lepas.

PAS hanya berjaya menawan Permatang Pasir dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, daripada lima kerusi yang ditandingi.

PAS juga bertarung dengan PKR dan Umno di Sungai Acheh dalam pertembungan tiga penjuru, yang menyaksikan kerusi itu dimenangi Umno.

Seorang pemimpin PH Pulau Pinang mengesahkan peruntukan kerusi itu, tetapi menggesa semua pihak untuk “menunggu pengumuman nanti.”

Kategori
Politik