PH Kemuka Permohonan Di Mahkamah Tinggi Desak Tindakan Tegas Terhadap RoS

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendesak tindakan tegas terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) susulan masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung status pendaftaran gabungan parti pembangkang itu sehingga kini.

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendesak tindakan tegas terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) susulan masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung status pendaftaran gabungan parti pembangkang itu sehingga kini.

Ketua Biro Undang-undang PH, Gobind Singh Deo berkata, tindakan RoS yang tidak memberi maklumbalas berhubung permohonan gabungan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan berdaftar adalah bersifat “mala fide” atau berniat jahat.

“Secara ringkas, aduan kami adalah bahawa kami telah pun memfailkan atau membuat permohonan supaya PH didaftarkan. Walaupun permohonan itu telah dibuat secara bertulis, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang balasan dari pihak RoS.

“Oleh itu, sekarang kami memohon kepada mahkamah supaya mahkamah memberikan satu perintah agar RoS membalas surat itu. Dan secara alternatifnya kami mengatakan bahawa tindakan RoS tidak menjawab surat ini satu tindakan menyalahi undang-undang kepada kita,” katanya kepada pemberita.

Justeru itu katanya, atas dasar undang-undang, adalah menjadi asas kepada PH untuk memohon supaya mahkamah mengarahkan RoS untuk mendaftarkan mereka.

Gobind menambah, gabungan itu juga akan memohon tarikh pendengaran awal bagi mempercepatkan permohonan mereka, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

PH sebelum ini berdepan dengan masalah kelulusan pendaftaran ekoran masalah yang melingkari dua parti komponennya, PPBM dan DAP.

Walau bagaimanapun, masalah yang melanda DAP telah selesai apabila (RoS) mengesahkan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan 12 November tahun lalu, sebagai tiada masalah.

Sementara PPBM, sudah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya, pada 30 Disember yang lalu seperti didesak.

Untuk rekod, PH menghantar permohonan secara rasmi kepada RoS pada Julai tahun lalu.

 

 

Kategori
Politik