Pemecatan keahlian tiga veteran UMNO wajar

Parti mana yang akan membenarkan ahli-ahlinya masuk dan berdiri di atas pentas pembangkang dan memaki hamun partinya sendiri.

KUALA LUMPUR: Pemecatan tiga veteran UMNO iaitu Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr Rais Yatim yang lantang mengkritik parti dan menyokong pembangkang wajar dilakukan demi kesejahteraan parti.

Malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga tidak berasa menyesal mahupun ralat dengan keputusan itu.

Kata beliau, tindakan itu dilakukan mengikut perlembagaan parti selain menjaga semangat moral ahli UMNO lain yang sentiasa bermati-matian memperjuangkan parti.

Tegas Hishammuddin, tiada mana-mana parti yang membenarkan ahlinya berada di atas pembangkang dan memburukkan parti sendiri.

“Parti mana yang akan membenarkan ahli-ahlinya masuk dan berdiri di atas pentas pembangkang dan memaki hamun partinya sendiri.

“Kalau tindakan tidak diambil saya sendiri akan minta mereka dipecat. (Pemecatan) ini akan dilaksanakan oleh mana-mana parti. Jangan tunding jari kerana tindakan dan hujah mereka itu memang jelas tidak bersama dengan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Bertemu Rakyat di Felda Chemplak Barat, Labis Segamat Johor.

Ketika ditanya mengenai kemasukan tiga veteran UMNO itu kepada pembangkang akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO atau tidak, Hishammuddin menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dengan bijak.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron senada dengan Hishammuddin kerana tindakan ketiga-tiga veteran UMNO itu secara terang-terangan belot dan tidak sepenuh hati menyokong perjuangan parti.

Beliau berkata, jika tindakan itu tidak segera diambil ia mampu menular seterusnya menjadi barah yang boleh membinasakan apa yang telah dibina dan diperjuangkan parti selama ini.

“Samalah di dalam tentera kalau ada mana-mana anggota yang belot dan bersubahat dengan musuh sudah pasti hukumannya lebih berat daripada dipecat. Kalau kita tidak mengamalkan hukuman mereka yang belot, nanti ia akan merosakkan apa yang telah kita bina.

Kategori
BeritaPolitik