Negara Berhutang RM1 Trilion Jika Hapus GST, Tol

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar janji-janji yang ditabur Pakatan Harapan (PH) apabila mahu memansuhkan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan menyebabkan negara berhutang hampir RM1 trilion.

ARAU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar janji-janji yang ditabur Pakatan Harapan (PH) apabila mahu memansuhkan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan menyebabkan negara berhutang hampir RM1 trilion.

Menurut Datuk Seri Najib Razak kerajaan sudah membuat pengiraan berdasarkan cadangan yang ditawarkan oleh PH jika mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Perdana Menteri langkah diambil PH itu akan menyebabkan hutang negara melonjak kepada RM416 bilion.

“Dengan hutang sedia ada kita, (ia akan menjadi) RM1 trilion.

“Kalau pembangkang kata kita (kerajaan sekarang) menambah hutang negara hari ini, dia punya manifesto lagi dahsyat,” katanya di majlis taklimat Belanjawan 2018 di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Arau hari ini.

Melalui dokumen setebal 138 halaman itu PH berikrar untuk menangani kenaikan kos sara hidup, termasuk untuk menghapuskan secara beransur-ansur cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tol.

Dokumen itu juga cuba mengangkat agenda Melayu, namun pada masa sama menyenaraikan tuntutan yang telah lama dibuat oleh masyarakat Cina dan India.

Pada 11 Mac lalu pula Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah memberitahu kerajaan akan kehilangan RM416 bilion jika GST, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), tol dan cukai eksais dimansuhkan.

Kata Najib pelaksanaan GST dibuat untuk kerajaan mendapat hasil namun ada hampir 600 barangan yang tidak dikenakan cukai berkenaan.

Menurut perdana menteri berdasarkan kajian kerajaan, Malaysia adalah negara paling banyak memberi pengecualian cukai GST namun mendapat hasil RM45 bilion setahun.

Mengenai tol pula Najib berkata beliau sendiri tidak sukakan sistem berkenaan namun negara ini mewarisi sistem berkenaan daripada “orang tua” sebelum ini – merujuk kepada seterunya ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bukan suka tol, tapi ada orang tua lain buat tol. Kita mewarisi sistem tu,” katanya.

 

 

Kategori
Politik