Kerajaan sekarang jangan jadi pembangkang – Bung Moktar

Jangan bersikap seperti pembangkang. Susah. Biar kami yang membangkang.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihati untuk bertindak sebagai pentadbir yang efektif demi kebaikan negara.

Ini diperkatakan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN – Kinabatangan) ketika membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas beliau, cara Kerajaan Pakatan Harapan bertindak sejak mengambil alih pentadbiran seolah-olah mereka masih di pihak pembangkang.

“Jangan bersikap seperti pembangkang. Susah. Biar kami yang membangkang.

“Kalau yang tidak baik, saya akan bangkang tetapi kalau baik, saya sendiri akan sokong demi rakyat,” katanya.

Tambah beliau, penting untuk kerajaan yang dipilih untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pentadbir dan tidak bertindak seperti pembangkang sebelum ini.

“Buat pertama kali dalam sejarah, bila kalah dalam pilihan raya tiada demonstrasi. Kucar-kacir negara.

“Kami (Barisan Nasional) tidak marah pun kalah, kami berlapang dada. Adat pertandingan, ada menang, ada kalah ,” katanya.

Kategori
Politik