Kerajaan jumpa wakil Google, FB, Youtube, Twitter

Kerajaan telah bertemu dengan wakil penyedia platform media sosial seperti Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube dan Twitter di Parlimen, semalam bagi mendapatkan lebih banyak input sebelum draf undang-undang berita palsu dimuktamadkan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bertemu dengan wakil penyedia platform media sosial seperti Asia Internet Coalition, Google, Facebook, Youtube dan Twitter di Parlimen, semalam bagi mendapatkan lebih banyak input sebelum draf undang-undang berita palsu dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertemuan itu diadakan sebagai salah satu langkah untuk mendapat lebih banyak pandangan daripada pemain-pemain utama bidang media baharu dalam usaha kerajaan untuk memperkenalkan rang undang-undang mengenai berita palsu.

“Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyedia platform media sosial.

“Pertemuan ini penting bagi memastikan rang undang-undang yang sedang digubal ini komprehensif merangkumi setiap aspek serta menjadi bukti yang kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata semalam juga berlangsung satu bengkel yang dikendalikan oleh jawatankuasa khas mengenai berita palsu yang telah diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Azalina berkata, seperti mana yang telah ditegaskan, asas utama rang undang-undang ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Rang undang-undang ini juga bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa kepada berita palsu.

“Saya percaya rang undang-undang ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini,” katanya.

 

 

Kategori
Politik