‘KEMENANGAN ANWAR LAMBANG PENGHORMATAN PKR’

"Kita semua sedia maklum Datuk Seri Anwar adalah tokoh yang memulakan gerakan reformasi 20 tahun lalu, dan saya percaya anggota serta kepemimpinan PKR menghormati beliau untuk kembali menerajui parti sebagai Presiden.

PUTRAJAYA: Kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden PKR adalah lambang penghormatan kepemimpinan dan ahli parti terhadap beliau yang kembali untuk menerajui selepas hampir dua dekad.

Penyandang jawatan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata tidak timbul soal patuh mahupun tiada demokrasi dalam parti susulan kemenangan tokoh itu, sebaliknya ia membuktikan kepemimpinan matang dan mendahulukan kepentingan parti.

“Kita semua sedia maklum Datuk Seri Anwar adalah tokoh yang memulakan gerakan reformasi 20 tahun lalu, dan saya percaya anggota serta kepemimpinan PKR menghormati beliau untuk kembali menerajui parti sebagai Presiden.

“Saya fikir tidak timbul soal patuh atau tiada demokrasi dalam parti kerana kita meletakkan beliau di tempat yang sebetulnya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Bengkel Membangunkan Amalan Terbaik Pertanian Mengenai Penanaman Sawit, di sini, hari ini.

Pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018 menyaksikan Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden selepas tempoh pencalonan ditutup pada jam 5 petang semalam.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi yang mendakwa penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mencabar Anwar bagi jawatan itu.

Mohamed Azmin yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden bakal berdepan saingan bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli.

Sementara itu, Shamsul Iskandar yang juga akan bertanding mempertahankan jawatan disandang, percaya ahli PKR mengenali beliau dan melihat rekod kepemimpinannya, terutama membawa perubahan terhadap kepemimpinan Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Saya fikir perkara ini akan menjadi dorongan untuk anggota parti membuat pilihan. Saya yakin anggota ada kebijaksanaan memilih dan berharap mereka memberikan saya peluang satu penggal lagi untuk terus berkhidmat dalam parti,” katanya.

Kategori
Politik