Kajian Invoke Kerap ‘Lawan Arus’ – Tuan Ibrahim

Kaji selidik Invoke Malaysia (Invoke) kendalian Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerap tersasar daripada kajian pihak-pihak lain malah terlalu cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH).

GOMBAK: Kaji selidik Invoke Malaysia (Invoke) kendalian Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerap tersasar daripada kajian pihak-pihak lain malah terlalu cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH).

Itu reaksi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung hasil kajian badan itu yang mengatakan PAS akan tewas di Kelantan malah tidak akan memenangi waima satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita tidak sekat mereka nak buat kajian, cuma kajian itu perlu lebih adil. Kajian jangan hanya nak sampai objektif yang kita hendak. Lalu kita bentuk persepsi kajian kita ke benda yang macam itu. Bagi saya, ini hak masing-masing.

“Kajian Invoke ini daripada dulu lagi satu kajian yang jauh tersasar daripada pelbagai kajian daripada pihak-pihak yang lain. Kajian beliau ini terlalu pesimis kepada PH dan nampak terlalu berat sebelah,” katanya kepada pemberita.

Rafizi sebelum ini mendedahkan hasil kajian Invoke bahawa PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi, termasuk di kubu kuat mereka, Kelantan.

Hasil kajian itu juga menunjukkan PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Malaysia Barat, meletakkanya di hadapan 76 kerusi Parlimen yang dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.

Menurut Rafizi, BN mengekalkan Terengganu dan Pahang tetapi berjaya merampas Kelantan daripada PAS selepas 28 tahun berusaha.

Keputusan juga menunjukkan PH akan mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, dan memasukkan Kedah, Johor dan Perak ke dalam senarai negeri yang dikuasainya.

Negeri Sembilan dan Melaka pula bergantung kepada perwakilan sama banyak daripada BN dan PH di DUN, kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Ramalan itu bagaimanapun tidak memasukkan kiraan di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ahli akar umbi PAS tidak perlu tergugat atau percaya dengan hasil kajian Invoke berikutan parti itu sendiri mempunyai kajian tersendiri, yang lebih realistik.

Malah kata Tuan Ibrahim, beberapa kajian pihak luar turut mendapati PAS berada pada landasan yang betul menuju PRU14.

“Sebagai contohnya, hampir semua kajian pihak lain mendapati PAS berada di landasan yang betul. Kerusi yang kita pertahan dan kita yakin akan pertahankan lagi. PAS tidak terpengaruh dengan kajian Invoke. Bagi kita, yang penting kita buat kerja tungkus lumus dan letak sasaran untuk capai sasaran kita. InsyaAllah.

“Bagi kita, yang penting kita buat kerja. Kita tidak peduli apa pun. Bagi saya, kalau kita menerima dua-dua pihak, satu kajian yang ‘belah kanan’ dan kajian beliau.

Tetapi PAS kita ada badan pengkaji kita termasuk untuk di peringkat universiti dan sebagainya dan kita lebih tengok, lebih adil dari segi kajian. Tidak hanya ‘berat sebelah’ kepada satu-satu pihak,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak hasil kajian Rafizi dan menyifatkan ianya sekadar ‘ralaman atas meja’ tanpa melibatkan akar umbi.

Rafizi kemudiannya memberitahu kaji selidik itu membabitkan data terkumpul daripada 500,000 pengundi seluruh negara.

 

 

Kategori
Politik