Jika Terambil, Kerajaan Sedia Kembalikan Hak Sarawak – PM

17 KUCHING: Kerajaan persekutuan tiada masalah mengembalikan kuasa atau hak kerajaan Sarawak yang “terambil” secara sengaja mahupun tidak sengaja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau berkata, kerajaan...

KUCHING: Kerajaan persekutuan tiada masalah mengembalikan kuasa atau hak kerajaan Sarawak yang “terambil” secara sengaja mahupun tidak sengaja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan kerajaan negeri bagi membincangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam Kabinet (persekutuan) pun ramai menteri datangnya dari Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan hari ini lebih jujur dan ikhlas dalam banyak isu, berbeza suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau seterusnya memuji perpaduan dan permuafakatan PBB sehingga banyak jawatan tinggi parti dimenangi tanpa sebarang pertandingan, yang menurutnya harus menjadi model dicontohi parti politik lain di Malaysia.

Kategori
Politik