HANYA ORANG BERFIKIRAN KOTOR TUDUH SAYA MILIKI ASET RM230 JUTA

Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan beliau memiliki aset bernilai RM230 juta.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan beliau memiliki aset bernilai RM230 juta.

Ketua pembangkang itu menegaskan, hanya mereka yang berfikiran kotor sahaja yang menuduh beliau memiliki aset sebanyak itu.

“Ketika itu saya terlibat di dalam pengendalian dalam 4 syarikat tersenarai, saya juga adalah pemegang-pemegang saham minoriti di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai itu.

“Saya juga menjadi ketua pegawai eksekutif salah sebuah syarikat itu. Juga menjadi pegawai eksekutif dalam beberapa syarikat lain.

“Dan tentunya aset itu dalam bentuk saham dan saham itu tak diperolehi dalam bentuk percuma. Ianya melibatkan pinjaman,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan terhadap Zahid mula tersebar Ogos tahun lepas apabila beliau terlibat dalam insiden tuduh menuduh secara terbuka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, yang perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), mendakwa Zahid membuat perisytiharan aset sebanyak 9 angka pada 1996. Dr Mahathir adalah perdana menteri ketika itu, sementara Zahid mengetuai sayap Pemuda Umno.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata kerajaan tidak ada bukti menunjukkan Zahid memiliki aset bernilai RM230 juta.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, jawapan yang diberikan Liew semalam juga menjelaskan dakwaan terhadapnya tidak benar.

“Saya harap bukan dari kalangan ahli parlimen tapi dari kalangan netizen, mereka harus ketahui ia merupakan satu tuduhan liar yang harus ditolak.

“Parlimen telah jawab secara bertulis semalam dan itu adalah jawapan rasmi daripada pihak kerajaan,” katanya.

Kategori
Politik