Hanya BN yang perjuangkan hak-hak Sabah, Sarawak

Malah Datuk Seri Anifah telah dilantik oleh Perdana Menteri untuk mewaikili Kerajaan Persekutuan bagi mengkaji dan memperincikan perkara-perkara yang terambil atau terlepas pandang, inilah tokoh Sabah yang memperjuangkan MA63.

KIMANIS: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada pihak lain yang memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membabitkan  Sabah dan Sarawak, selain pemimpin daripada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi BN berkata, sentimen Sabah Untuk Sabahan atau Sarawak Untuk Sarawakian yang dibangkitkan pihak tertentu terutamanya pembangkang dilihat hanya sekadar retorik serta meraih perhatian semata-mata memandangkan kedua-dua negeri itu tidak pernah diperlecehkan seperti mana yang didakwa.

Menurutnya, ibarat sudah terang lagi bersuluh, hak Sabah memang kepunyaan rakyatnya begitu juga Sarawak namun, mengakui kekhilafan pemimpin terdahulu terutamanya bekas perdana menteri selama 22 tahun telah menyebabkan beberapa perkara di dalam MA63 terambil.

Tambah beliau, rakyat Sabah perlu berterima kasih dengan Ketua Bahagian UMNO Kimanis iaitu Datuk Seri Anifah Aman yang menjawat jawatan Menteri Luar sering kali memperjuangkan isu-isu MA63 sebelum ini sehinggakan suaranya didengar Perdana Menteri selain dijadikan sebahagian Manifesto BN baru-baru ini.

“Malah Datuk Seri Anifah telah dilantik oleh Perdana Menteri untuk mewaikili Kerajaan Persekutuan bagi mengkaji dan memperincikan perkara-perkara yang terambil atau terlepas pandang, inilah tokoh Sabah yang memperjuangkan MA63.

“Ertinya apabila jawatankuasa kabinet ini diwujudkan dan arahan daripada Perdana Menteri ertinya, kepedulian dan keprihatinan dibuat oleh Datuk Seri Najib kerana kita harus memperlakukan mana-mana isu yang telah termaktub dalam perjanjian itu harus dilaksanakan sepenuhnya sebagai usaha untuk menghargai Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena pelancaran Jentera BN Kimanis dan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pekan Bongawan, hari ini.

Selain Anifah, hadir sama dalam program itu adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussien, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan; Datuk Mohamad Alamin dan ADUN Membakut; Datuk Ariffin Arif.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut meminta rakyat Bongawan untuk terus mempercayai BN dalam membawa arus pembangunan di kawasan tersebut.

Beliau turut menambah, pucuk pimpinan meminta supaya majoriti undi di Parlimen Kimanis meningkat lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) ini memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat BN sejak dulu.

“Saya doakan agar Datuk Seri Anifah serta kedua-dua pemimpin (BN Dun Bongawan dan Membakut) dicalonkan semula agar pada 9 Mei nanti (malam) diumumkan bahawa majoriti beliau melebihi 10,000.

“InsyaAllah.. begitu juga majoriti calon BN Bongawan dan Membakut lebih besar berbanding PRU13 lalu,” katanya.

Ahmad Zahid bersama pemimpin dan rakyat Kimanis.

Ahmad Zahid bersama pemimpin dan rakyat Kimanis.

 

Kategori
BorneoPolitik