Lian Ker berkata, Dewan Negara berperanan sebagai periksa dan imbang bukan sebagai `rubber stamp’ sesuatu undang-undang sebagaimana yang dikehendaki oleh Chin Tong.

“Semasa di dalam pembangkang Chin Tong sendiri menuduh Dewan Negara hanya berperanan sebagai `rubber stamp’ kerana ketika itu menyokong kerajaan Barisan Nasional,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Chin Tong, Ahli Dewan Negara dan juga Timbalan Menteri Pertahanan mendesak senator daripada wakil Barisan Nasional (BN) yang kini merupakan kelompok majoriti di Dewan Negara perlu menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 atas dasar menghormati mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).

Chin Tong berkata, penolakan terhadapnya hanya akan menyulitkan lagi keadaan terutama kepada pendapatan negara berikutan kerajaan tidak boleh melaksanakan kutipan SST seperti yang dijadualkan iaitu bermula 1 September ini.

Menurut Lian Ker, pemimpin yang digelar sebagai pakar strategi DAP itu sering `bercakap tidak serupa bikin’ sehingga menjejaskan reputasinya sendiri.

Sebelum ini, kata beliau, Chin Tong juga memperlekehkan pemimpin BN yang dilantik sebagai senator dan memegang jawatan menteri serta melabel mereka sebagai `masuk ikut pintu belakang’ kerana dilantik menjadi menteri walaupun telah kalah pada pilihan raya.

Bagaimanapun apabila DAP memerintah Chin Tong menerima tawaran apabila diberi jawatan Timbalan Menteri Pertahanan tanpa rasa segan atau malu dengan kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini, kata Lian Ker. – UTUSAN ONLINE