Antara barisan pemimpin yang berada di dalam kem Rafizi untuk menduduki kerusi Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Malah di peringkat negeri, pemimpin-pemimpin di dalam pasukan Rafizi juga akan bertanding semua jawatan dan dijangka berhadapan dengan calon yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden.

Antara jawatan yang dipertandingkan di peringkat negeri ialah Ketua Cabang; Timbalan Ketua Cabang; Naib Ketua Cabang; Ahli Jawatankuasa Cabang; Ketua AMK Cabang: Timbalan Ketua AMK Cabang; Naib Ketua AMK Cabang; Ketua Wanita Cabang; Timbalan Ketua Wanita Cabang dan Naib Ketua Wanita Cabang.

Di Perlis, calon daripada kumpulan Rafizi dilihat berpeluang cerah untuk menang bagi keseluruhan jawatan yang dipertandingkan di semua tiga cabang iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Di negeri ini, kebanyakkan anggota parti itu dilihat lebih cenderung kepada Rafizi selain mereka dikatakan hilang keyakinan kepada Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman yang berada di dalam kem Mohamed Azmin.

Malah kesemua wakil rakyat PKR di negeri ini kecuali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling sebelum ini jelas menyatakan sokongan kepada Rafizi sebagai Timbalan Presiden.

Difahamkan mereka yang berada di dalam pasukan Rafizi itu ialah ADUN Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.

Bagi jawatan Ketua Cabang PKR Arau, bakal menyaksikan pertembungan antara Asrul Nizan dari pasukan Rafizi dan Izhar Kamaruddin Sudin (kem Mohamed Azmin).

Gandingan Asrul Nizan iaitu K. Manivanan pula akan berhadapan dengan Mohammad Faisol bagi merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Arau sekali gus bakal menjadi kayu pengukur sama benar atau sebaliknya Pengerusi PKR negeri itu ditolak oleh majoriti ahli parti.

Di atas kertas, kedua-dua calon di dalam kem Rafizi itu dilihat berpeluang cerah untuk menang memandangkan mereka disenangi oleh ahli akar umbi selain status Asrul Nizan sebagai wakil rakyat dan Manivanan sebagai penyandang jawatan Ketua Cabang PKR Arau sebelum ini.

Mohammad Faisol pula berpindah dari Cabang Kangar untuk mencuba nasib di Arau dalam pemilihan parti itu kali ini.

Di Kangar, Noor Amin dilihat tidak mempunyai masalah untuk menang jawatan Ketua Cabang PKR kawasan itu meskipun terpaksa berhadapan seorang lagi calon daripada kem Mohamad Azmin iaitu Ko Chu Liang yang juga penyandang bagi jawatan tersebut sebelum ini.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Kangar, Ay Ling dilihat berhadapan cabaran memenangi jawatan tersebut kerana di peringkat akar umbi, ADUN Indera Kayangan daripada Pulau Pinang itu masih baharu di negeri ini.

Di Padang Besar, situasi dilihat sama apabila kelebihan berpihak kepada calon-calon di dalam pasukan Rafizi.

Apa sekali pun, terserahlah kepada kira-kira 6,000 perwakilan parti itu di negeri ini membuat pilihan sama ada memilih calon daripada pasukan Rafizi atau kem Mohamed Azmin.

Perlu diingat, pemilihan PKR di Perlis kali ini penting kerana pemimpin yang dipilih nanti akan memainkan peranan besar bagi mengukuhkan parti itu yang mempunyai potensi besar untuk merampas negeri ini buat kali pertama daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Selain itu, adakah tugas untuk mengukuhkan parti itu akan dipertanggungjawabkan kepada Pengerusi PKR baharu selepas ini. Sama-sama kita nantikan.