Boleh Selesai Isnin Hanya Jika Semua Parti Sepakat

Pakatan Harapan (PH) Selangor mampu menyelesaikan rundingan kerusi DUN di negeri itu mengikut tempoh yang diberikan, namun ia hanya akan berlaku sekiranya kesemua empat parti komponennya mencapai kata sepakat.

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor mampu menyelesaikan rundingan kerusi DUN di negeri itu mengikut tempoh yang diberikan, namun ia hanya akan berlaku sekiranya kesemua empat parti komponennya mencapai kata sepakat.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya akan menggunakan tempoh empat hari yang masih berbaki untuk menyelesaikan beberapa kerusi yang menjadi pertikaian.

“Kalau semua parti bersetuju, tiada masalah, kita boleh selesaikan (dalam tempoh yang diberi),” katanya kepada Antarapos, ketika ditanya sejauh mana keyakinan pihaknya untuk menyelesaikan rundingan kerusi di peringkat negeri.

Semalam, Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan PH Selangor diberi tempoh sehingga Isnin depan bagi menyelesaikan rundingan agihan kerusi DUN di negeri itu.

Menurut Saifuddin, jika PH Selangor masih gagal untuk menyelesaikan rundingan dalam tempoh yang diberikan, tugas itu akan diambil alih Majlis Presiden gagasan itu.

Sebelum ini, Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan keyakinannya bahawa PH negeri itu akan mencapai kata sepakat bersabit soal agihan kerusi DUN tanpa perlu membawa perkara berkenaan ke peringkat Majlis Presiden.

Sementara itu, Xavier enggan mengulas ketika ditanya setakat mana perbincangan mengenai pertindihan kerusi sudah berjaya diselesaikan sehingga kini.

ADUN Sri Andalas itu sebaliknya memaklumkan bilangan kerusi yang masih belum selesai berada dalam jumlah ‘tidak banyak’.

Tambahnya, sekiranya PH Selangor gagal memuktamadkan rundingan di peringkat negeri, perkara itu akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden untuk diambil alih.

“Belum selesai lagi, ada kerusi lagi yang kita kena selesai. Kita akan gunakan masa yang kita ada untuk selesaikan. Kalau tak boleh selesai di bawah, nanti kita bawa kepada Majlis Presiden untuk selesaikan,” katanya.

PH dalam sidang medianya pada Selasa memberi tempoh sehingga esok kepada mana-mana negeri yang masih belum memuktamadkan rundingan kerusi negeri, manakala Selangor diberi tempoh sehingga Isnin.

Rundingan pengagihan kerusi PH di Selangor sepatutnya diselesaikan pada 31 Januari lepas, sebelum ia dilanjutkan kepada 7 Februari berikutan pertikaian antara keempat-empat parti komponennya.

Kerusi yang menjadi pertikaian PH adalah 12 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN), dan 13 kerusi milik PAS.

 

Kategori
Politik