Azmin Dituduh Sekat Aktiviti Perniagaan IDCC

Kerajaan Negeri Selangor dituduh dengan sengaja menyekat aktiviti perniagaan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) selepas mengarahkan semua agensi kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar tidak lagi mengadakan majlis rasmi di situ.

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor dituduh dengan sengaja menyekat aktiviti perniagaan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) selepas mengarahkan semua agensi kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar tidak lagi mengadakan majlis rasmi di situ.

Penasihat dan Pengarah Syarikatnya, Lee Aik Chong berkata arahan tersebut dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 1 Jun 2016.

Bagaimanapun, beliau baru sahaja mendapat tahu mengenai perkara itu menerusi pekeling yang dihantar pekerjanya menerusi aplikasi WhatApps.

Menurutnya, misteri kerugian yang dialami syarikatnya sejak dua tahun lalu akhirnya terjawab dan beliau menuntut menteri besar membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari, selain menarik balik arahan tersebut.

“Malangnya kita ada Menteri Besar di Selangor yang telah mengeluarkan memo yang cuba menyekat semua agensi kerajaan untuk tidak membuat sebarang program dan menggunakan pusat konvensyen ini.

“Justeru saya telah membuat satu laporan polis (pada 26 Februari 2016) terhadap Menteri Besar bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai MB untuk melakukan perkara sedemikian,” katanya kepada pemberita di Pengasus Hotel di IDCC, Shah Alam.

Lee berkata Azmin mengeluarkan arahan sebegitu selepas pihak IDCC memfaikan tuntutan ganti rugi terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 6 April 2016 berkaitan kes undang-undang kerajaan tempatan.

Lee menambah, disebabkan arahan Azmin itu, ia menjejaskan periuk nasi kepada lebih 120 orang pekerja di premis itu.

“Beliau (Azmin) perlu mengambil kira bahawa rakyat perlu bekerja, jadi di dalam bangunan ini saya ada lebih 100 pekerja, kita perlu cari makan dan disebabkan keputusannya kita mengalami masalah kewangan selama dua tahun malah kita tidak mampu membayar gaji dan bonus kepada para pekerja.

“Saya harap selepas kenyataan ini dibuat, kerajaan negeri patut menarik balik arahan (memo) yang telah dikeluarkan mereka, memohon maaf kepada syarikat kami dan bantu kami membangunkan semula bisnes kami.

“Jika tidak, dalam tempoh 14 hari kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri,” katanya lagi.

 

 

Kategori
Politik