AMANAH PERAK SEDIA BERI ANWAR LALUAN

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata ia adalah hak Anwar yang juga Ketua Umum PKR untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuk di negeri ini. 

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak bersedia memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu ingin bertanding kerusi Parlimen di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata ia adalah hak Anwar yang juga Ketua Umum PKR untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuk di negeri ini.

“Cuma terpulang kepada mana-mana Ahli Parlimen tidak kira daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), AMANAH atau PKR yang akan beri ruang untuk dia bertanding.

“Itu hak dia (Anwar) sama ada ingin bertanding di Bukit Gantang atau Bagan Serai atau mana-mana kawasan,” katanya yang ditemui selepas Program Sepagi Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Dialoq Rakyat di dewan Sekolah Agama Rakyat, Kampung Changkat Larang, di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengulas laporan portal berita baru-baru ini yang memetik sumber sebagai berkata, seorang Ahli Parlimen Bebas dari Perak dikatakan sedia menawarkan kerusi kepada Anwar.

Ketika ini, ada dua kerusi disandang Ahli Parlimen Bebas iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali di Bagan Serai dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Bukit Gantang selepas kedua-duanya mengumumkan keluar UMNO.

Mohammad Nizar berkata, jika kawasan berkenaan membabitkan kerusi yang diberikan kepada AMANAH sebelum ini secara dasarnya laluan akan diberikan terutama membabitkan pimpinan tertinggi parti daripada PH.

“Sekiranya perkara itu berlaku kita akan balik semula kepada dasar kami iaitu mana-mana tempat yang dihajati terutama kepemimpinan tertinggi, kita akan beri pertimbangan untuk beri laluan, itu kita punya dasar dari dulu lagi.

“Bagaimanapun, perkara ini belum lagi kita bincang di peringkat negeri dan pusat, tetapi saya hanya sebut berdasarkan dasar parti, kalau ada hajat kita beri keutamaan dan laluan,” katanya.

Kategori
Politik