Majlis penyerahan penganjuran Piala Dunia 2022 itu berlangsung di Istana Grand Kremlin, Moscow sebaik sahaja Presiden Rusia, Vladimir Putin secara simbolik menyerahkan bola adidas Telstar Mechta kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani sambil disaksikan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino kelmarin.

Piala Dunia 2022 dijadualkan berlangsung di Qatar bermula 21 November hingga 18 Disember 2022.

“Tuan Presiden (Putin), izinkan saya untuk mengucapkan tahniah kepada anda dan Rusia atas penganjuran hebat Piala Dunia dan kami juga berharap dapat menjadi tuan rumah yang berjaya kelak.

“Saya menjemput semua rakan kami hadir sebagai tetamu. Kami juga berharap pasukan kebangsaan Qatar akan dapat mengulangi kejayaan pasukan Rusia bahkan mungkin melangkah lebih jauh. Sekurang-kurangnya kami akan berusaha,” kata Tamim.