Peguam negara Illinois saman Trump Tower

58 CHICAGO: Peguam negara Illinois mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Menara Trump di sini, semalam, atas dakwaan melanggar undang-undang alam sekitar dan mengancam hidupan ikan di dalam sungai Chicago. Lisa...

CHICAGO: Peguam negara Illinois mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Menara Trump di sini, semalam, atas dakwaan melanggar undang-undang alam sekitar dan mengancam hidupan ikan di dalam sungai Chicago.

Lisa Madigan yang mengemukakan tuntutan di Mahkamah Litar Daerah Cook itu berkata, Trump International Hotel & Tower melepaskan jutaan gelen air setiap hari ke dalam sungai bagi menyejukkan pelbagai sistem di dalam bangunan berkenaan.

Menurut tuntutan berkenaan lagi, menara kediaman setinggi 92 tingkat itu juga gagal menjalankan kajian mandatori yang dikuatkuasa kerajaan mengenai kesan pelepasan air ke dalam sungai dan ancamannya terhadap kehidupan akuatik.

“Menara Trump juga secara berterusan menyedut jutaan gelen air dari sungai Chicago setiap hari tanpa permit yang sah dan tanpa mengambil kira kesannya terhadap eko sistem sungai,” kata Madigan dari Parti Demokrat yang memegang jawatan itu sejak 2003, dalam satu kenyataan.

Sementara itu, wakil Trump Organization dalam satu kenyataan menerusi e-mel, berkata: “Kami amat kesal dengan tindakan Peguam Negara IIlinois itu yang memilih untuk mengemukakan tuntutan berkenaan, memandangkan perkara seperti itu selalunya sering ditangani pada peringkat pentadbiran.

“Justeru, kita boleh membuat kesimpulan bahawa keputusan itu adalah bermotifkan politik”.

Harta tanah milik Trump Organization di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai pemantauan sejak Donald Trump dari Parti Republikan dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 2016.

Pada Januari 2017, selepas meletakkan jawatan dari syarikatnya, Trump melantik dua anak lelakinya, Don dan Eric untuk mengendalikan perniagaannya. – Reuters

Kategori
BeritaDunia