PBB beri amaran ‘generasi hilang’ kanak-kanak Rohingya

114 GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, apa yang disifatkannya generasi hilang kanak-kanak Islam Rohingya, dengan setengah juta di kem pelarian Bangladesh berdepan bahaya termasuk penyakit dan banjir...

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, apa yang disifatkannya generasi hilang kanak-kanak Islam Rohingya, dengan setengah juta di kem pelarian Bangladesh berdepan bahaya termasuk penyakit dan banjir selain ketiadaan akses pendidikan di Myanmar.

Setahun selepas 700,000 Rohingya lari akibat tindakan keras ganas oleh pasukan keselamatan Myanmar di Rakhine, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) memberi satu penilaian suram terhadap nasib kanak-kanak terbabit di kedua belah kawasan di sempadan.

“Kami bercakap mengenai risiko kehilangan atau potensi kehilangan satu generasi kanak-kanak Rohingya.

“Ia bukan setakat setengah juta kanak-kanak di sebelah sempadan Bangladesh namun mereka yang berada di Rakhine, yang mana akses terhadap pendidikan samar-samar dan amat terhad,” kata jurucakap UNICEF, Simon Ingram dalam sidang media di sini selepas menghabiskan tempoh enam minggu di kem di Cox’s Bazaar.

Katanya, PBB menganggarkan antara 530,000 hingga 600,000 etnik itu yang tanpa kerakyatan masih kekal di Rakhine termasuk kira-kira 360,000 kanak-kanak. PBB mempunyai akses terhad di sana.

Kerajaan awam diketuai Aung San Suu Kyi berkata, pihaknya bersedia menerima kepulangan pelarian dengan ruang disediakan untuk penempatan semula penduduk yang melarikan diri.

Ingram berkata, prospek kepulangan mereka ke Myanmar pada bila-bila masa agak suram, walaupun satu perjanjian kepulangan sukarela ditandatangani kerajaan Yangon dan agensi PBB Jun lalu. Katanya, keadaan di Rakhine masih tidak selamat.

UNICEF berkata, ia meluaskan program pendidikan di kem Bangladesh, ketika ini untuk kanak-kanak sehingga 14 tahun untuk cuba memenuhi keperluan kanak-kanak lebih besar. -Reuters

Kategori
BeritaDunia