Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, wang itu telah dimasukkan ke dalam satu akaun, justeru itu bukan satu kesalahan atau menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Saya tidak fikir itu kehilangan kerana wang tersebut masuk ke dalam akaun yang disatukan, maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Kalau wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan, maka barulah namanya kecurian,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) dalam sidang Dewan Rakyat semalam bahawa wang bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion telah hilang a­kibat ‘dirompak’ di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, dana tersebut sepatutnya dikembalikan kepada peniaga dalam tempoh dua minggu selepas mereka memfailkan tuntutan masing-masing.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan Guan Eng supaya tidak membuat tuduhan sebara­ngan dan bersikap seperti masih lagi pembangkang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, Guan Eng dan kerajaan Pakatan Harapan perlu menyelesaikan masalah, khususnya hal-hal yang berkaitan dengan rakyat.

“Jalan terbaik ialah menyelesaikan bukan memainkan peranan dengan menyalahkan pihak lain. Bersikaplah sebagai kerajaan dan tidak sebagai pembangkang.

“Mereka harus bertindak sebagai kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jika itu masalah yang sedang dihadapi oleh para peniaga yang sepatutnya menuntut semula tuntutan daripada GST yang harus dibayar semula,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Guan Eng dan kerajaan Pakatan Harapan harus berlaku adil terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dan menjalan tugas membantu kerajaan BN ketika memerintah negara dahulu.

“Kalau mereka tidak boleh menyelesaikan masalah itu serahkan pada kami (BN) sebagai kerajaan, kami akan selesaikan dan mencari jalan untuk menyelesaikan,” katanya.