Tiada pindahan wang 1MDB ke akaun Najib – Arul Kanda

"1MDB tidak pernah memindahkan walau satu sen pun ke dalam akaun peribadi perdana menteri,"

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak pernah memindahkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

“1MDB tidak pernah memindahkan walau satu sen pun ke dalam akaun peribadi perdana menteri,” katanya di dalam satu sesi penjelasan secara langsung bersama Presiden 1MDB di laman Facebook, Friends of BN pada Sabtu.

Arul Kanda turut menjelaskan bahawa isu perpindahan wang sejumlah RM2.6 bilion merupakan antara soalan panas yang sering ditanyakan kepada beliau sepanjang sesi ceramah umum yang dianjurkan bagi menjelaskan isu berkaitan1MDB.

“Sejak saya mengambil alih sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pada Januari 2015, saya telah membuat ceramah dan roadshow pada masa itu, dan membuat temuramah dengan media tempatan dan antarabangsa seperti BBC News, Bloomberg TV, Financial Times dan sebagainya, ini bukan perkara baru,” jelasnya.

 

Katanya berdasarkan penjelasan yang diberikan sepanjang sesi ceramah umum, pemahaman masyarakat berhubung isu ini semakin jelas.

Bagaimanapun, katanya, sejak awal tahun ini, pembangkang telah membuka semula cerita 1MDB dan mengitar semula berita lama yang sebenarnya sudah tidak ada isu.

“Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB mengambil keputusan untuk mengadakan roadshow, supaya setiap persoalan yang dikemukakan rakyat mengenai isu itu, terjawab. Sehingga hari ini, saya telah mengadakan sesi penerangan di 30 lokasi di seluruh negara,” katanya.

Selain siri jelajah, penerangan berkaitan 1MDB boleh didapati menerusi laman sesawang www.arulkanda.com yang menghimpunkan artikel, blog, temuramah dan video ringkas penjelasan Arul Kanda berhubung isu 1MDB.

“Isu 1MDB ini sebenarnya adalah isu perniagaan, bagaimanapun ianya telah dipolitikkan,” tegas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai status hutang negara, Arul Kanda berkata, rakyat harus membandingkan kadar hutang negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi mendapat gambaran sebenar.

Jumlah hutang kerajaan persekutuan pada penghujung 2017 adalah RM686.8 billion atau 50.8 peratus daripada KDNK dan ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

“Kerajaan mempunya keupayaan untuk membayar hutang tersebut di samping mempunyai polisi untuk mengurangkan jurang pendapatan negara dan kadar hutang negara,” tambahnya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional