Suami isteri miliki dadah ditahan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dilakukan, suami suspek bertindak agresif dan berlaku sedikit pergelutan sebelum berjaya ditangkap.
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas mereka didapati memiliki tiga paket dadah jenis syabu seberat 150.55 gram yang bernilai RM15,000 dalam tangkapan di sebuah kedai tayar berhampiran Batu Lima Setengah, Jalan Tuaran, Inanam, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.25 petang Rabu, dua suspek, iaitu lelaki berusia 53 tahun dan isterinya, 55, ditahan di lokasi berkenaan sebaik sahaja diserbu sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dilakukan, suami suspek bertindak agresif dan berlaku sedikit pergelutan sebelum berjaya ditangkap.

“Semasa menjalankan tangkapan itu, telah berlaku sedikit pergelutan kerana suspek lelaki bertindak agresif, hasil daripada tindakan pantas pihak polis.

“Pihak polis telah berjaya membuat rampasan sebanyak tiga paket dadah jenis syabu yang mempunyai jumlah berat kasar sebanyak 150.55 gram dan anggaran harga dadah adalah RM15,000,” katanya, dalam kenyataan media, hari ini.

Antara dadah yang dirampas pasukan polis.

Antara dadah yang dirampas pasukan polis.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati, suspek lelaki yang ditahan dalam kejadian itu difahamkan mempunyai empat kesalahan lampau berkaitan dengan jenayah narkotik.

Kedua-dua suspek kini direman di IPD Kota Kinabalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika disabitkan kesalahan.

Kategori
Nasional