SPRM akan pastikan rumah mampu milik Perak hanya untuk yang paling layak

"Ini bukan sekadar memenuhi kuota. Kerajaan komited ke arah memastikan penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya kepada kumpulan sasaran B40 dan yang di bawah kumpulan sasaran B40. Unit-unit ini juga akan lebih selesa, lebih besar dan mesra rakyat,"

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Perak akan meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan rumah mampu milik yang dibina di Perak hanya untuk yang paling layak, sejajar dengan manifesto kerajaan akan menyediakan satu juta rumah mampu milik.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata sedemikian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan syarikat pemaju perumahan MK Land Holdings Bhd di Damansara Perdana hari ini.

Kawasan seluas 226 ekar di Simpang Pulai akan dibangunkan sebagai pembangunan rumah mampu milik serta pembangunan bercampur yang berjumlah lebih kurang 2,200 unit.

Ia juga akan merangkumi 1,100 unit rumah teres mampu milik.

Ini merupakan kali pertama MB Inc. bekerjasama dengan MK Land untuk membina rumah mampu milik dan pembangunan bercampur.

MOU untuk projek tersebut disaksikan oleh Ahmad Faizal dan Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal.

MB Inc. diwakili oleh Anuar Zainal Abidin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  dan MK Land oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulannya Kamarulzaman Abu Bakar.

Menerusi Memorandum Persefahaman itu, tanah  yang terletak di Mukim Teja dan Sungai Raya itu akan dibangunkan oleh sebuah syarikat usahasama di antara MB Inc, dan MK Land.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya menyambut baik usaha MK Land dalam menyediakan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Kerajaan negeri Perak menyasarkan 50,000 unit rumah mampu milik bagi lima tahun yang akan datang di seluruh negeri Perak.

“Ini bukan sekadar memenuhi kuota. Kerajaan komited ke arah memastikan penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya kepada kumpulan sasaran B40 dan yang di bawah kumpulan sasaran B40. Unit-unit ini juga akan lebih selesa, lebih besar dan mesra rakyat,” kata Ahmad Faizal.

Kumpulan B40 pada umumnya mempunyai pendapatan RM2,000 ke bawah.

Ujar Felina, ini bukanlah kali pertama MK Land juga akan bekerjasama dengan SPRM untuk memastikan rumah mampu milik menjadi kepunyaan rakyat yang sebenar-benarnya layak.

“Kami pernah meminta bantuan SPRM semasa projek perumahan kami di Damansara Damai,” kata Felina.

Fasa Satu dianggarkan siap dalam masa tiga tahun dengan sebanyak 200 unit dan bakinya 200 unit setiap tahun mengikut sambutan dari pembeli.

Baki keluasan tanah tersebut akan dimajukan sebagai pembangunan bercampur mengikut permintaan pasaran.

MK Land menganggarkan seramai 11,000 penduduk akan mendiami kawasan yang dibangunkan ini apabila siap kelak.

Ujar Felina, berbekalkan pengalaman selama lebih 35 tahun dalam industri hartanah, pihak MK Land amat yakin akan dapat melaksanakan skim perumahan ini di Perak dengan kerjasama pihak kerajaan negeri.

Kerajaan negeri Perak berharap kawasan Simpang Pulai akan menjadi kawasan ‘new growth centre‘ untuk kawasan berhampiran Ipoh.

Kategori
Nasional