‘Siapa yang gagal?’

Atas semua kejayaan yang telah kita capai bersama ini, saya ingin bertanya, siapa kata kita negara yang gagal atau A Failed State?

PUTRAJAYA: Perdana Menteri hari ini menempelak pihak yang mengatakan Malaysia sebuah negara gagal sedangkan pelbagai kejayaan berjaya dikecapi negara sehingga hari ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, hasil gandingan mantap perkhidmatan awam dengan kerajaan menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun lalu mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, iaitu antara yang tertinggi di dunia.

Katanya, seterusnya, agensi penarafan antarabangsa Moody’s, Standard & Poor, Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A pada 2017.

Beliau berkata, Indeks Daya Saing Global (GCI) 2017-2018 pula menyenaraikan Malaysia sebagai negara ke-23 paling berdaya saing daripada 137 negara.

Katanya, perkhidmatan awam Malaysia juga mendapat pengiktirafan antarabangsa, antaranya menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada Global Entrepreneurship Award (GEC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu, apabila terpilih sebagai penerima ‘Global Blue Ocean Shift Awards’.

Terkini, katanya, iaitu pada 28 Mac lalu, Syarikat Aramco, milik Kerajaan Arab Saudi menyuntik dana pelaburan ke negara ini sebanyak AS$7 bilion iaitu hampir RM30 bilion yang dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Atas semua kejayaan yang telah kita capai bersama ini, saya ingin bertanya, siapa kata kita negara yang gagal atau A Failed State?

“Setahu saya, yang dikatakan gagal itu adalah, apabila bina ‘terowong tak siap-siap’,… bila berlaku masalah banjir (Pulau Pinang), tapi minta bantuan kita dan penjawat awam jugalah yang kena selesaikan. Jika itu tidak dikira gagal, nak cakap apa lagi?

“Ini tidak termasuk yang terbaru, hampir 10 tahun dah perintah negeri (Selangor), tapi ‘masalah air terawat pun tak selesai-selesai’. Itulah yang gagal sebenarnya. Sehinggakan ada orang mengatakan di negeri itu, ‘pemimpin dapat undi, rakyat pula dapat baldi’.

“Itu belum kira ada ‘pemimpin utama pembangkang’ (Lim Guan Eng) dari sebuah negeri di utara Semenanjung, sanggup mempergunakan institusi pendidikan, untuk tujuan politik dan ‘terkinja-kinja’ menyanyi lagu anti GST di hadapan kanak-kanak bagi menyemai kebencian terhadap kerajaan Persekutuan.

“Biarlah dia dengan ‘perangai macam tu’, tetapi kita di pihak Kerajaan, akan terus berusaha memperkasa dan memartabatkan institusi pendidikan di negara ini dan juga kepada golongan pendidiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) dengan tema ‘Demi Negaraku Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Kategori
BeritaNasional