‘Saya dah handsome’

Adik sangat tabah ketika menempuh beberapa pembedahan dan mengalami kecacatan ada dua jari tangan kirinya. Setelah menjalani fisioterapi lebih setahun, akhirnya jarinya pulih tapi tidak boleh diluruskan

IPOH: “Yeay, adik dah handsome,” demikian reaksi Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, 11, selepas pembedahan di bahagian kepalanya yang parah akibat diseret van sekolah, tujuh tahun lalu, telah berjaya.

Kisah Haziq pernah menggemparkan negara apabila sebahagian tepi kepalanya hilang akibat diseret hampir 100 meter selepas beg galasnya tersangkut pada pintu van ketika turun di hadapan rumahnya di Bandar Baru Putra, Bercham.

Ibunya, Norazaliza Alwi, 38, berkata, anaknya itu telah menjalani lima pembedahan sejak usianya empat tahun selepas kulit kepalanya terkoyak hingga menampakkan bahagian tempurung.

“Adik sangat tabah ketika menempuh beberapa pembedahan dan mengalami kecacatan ada dua jari tangan kirinya. Setelah menjalani fisioterapi lebih setahun, akhirnya jarinya pulih tapi tidak boleh diluruskan.

“Cuma bahagian tengah kepalanya botak selepas sebahagian kulit itu digunakan untuk menutup kecederaan di bahagian tepi itu. Sejak dari itu, dia hanya memakai kopiah di sekolah bermula dari darjah satu hingga empat kerana malu,” katanya ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Menurutnya, pembedahan terakhir itu bagi mengembangkan tisu di bawah kulit kepala sekaligus membentuk rambut secara semulajadi di bahagian yang botak itu.

“Doktor ada membuka balutan sekejap semalam (kelmarin) bagi membuang tiub dan dia sempat bagi adik tengok keadaan kepalanya. Spontan adik terus tersenyum.

“Dia sangat gembira dan tidak perlu menutup lagi bahagian botak itu. Dia sudah tidak sabar untuk buka balutan dan pergi ke sekolah tanpa kopiah lagi. Berkat kesabaran adik sangat berbaloi,” katanya.

Kategori
NasionalUtama