Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos tidak harus dipertikai – Timbalan Ketua Menteri Sabah

Apa yang kita tahu, rakyat negeri Sabah sedar dan tahu bahawa 31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan negara kita. Rakyat juga tahu bahawa 16 September merupakan Hari Malaysia

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew menyifatkan bahawa ‘kontroversi panas’ mengenai sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Sabah dan Sarawak.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata ketetapan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan harus disambut oleh kesemua negeri tanpa mempertikaikan hari sambutan tersebut.

Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing berhubung sambutan 31 Ogos baru-baru ini tidak mengugat rakyat negeri Sabah dalam menyambut hari bersejarah itu.

“Apa yang kita tahu, rakyat negeri Sabah sedar dan tahu bahawa 31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan negara kita. Rakyat juga tahu bahawa 16 September merupakan Hari Malaysia.

“Justeru, fakta ini tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan saya percaya rakyat Sabah juga tidak akan mempertikaikan tarikh 31 Ogos ini,” katanya kepada Astro AWANI selepas majlis Pelancaran Sulung AirAsia dari Bangkok ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berkata laluan terbaharu AirAsia dari Kota Kinabalu ke Bangkok ini dapat melonjakkan lagi industri ekonomi kedua buah negara.

“Thailand adalah pasaran penting bagi Malaysia kerana ia berpontesi untuk berkembang dimana pelbagai produk pelancongan di sini memenuhi keperluan mereka.

“Justeru, saya berharap pemain industri di kedua-dua buah negara ini akan bekerjasama dengan AirAsia Thailand untuk mempromosikan Malaysia dan mengekalkan laluan ini,” katanya.

Terdahulu, AirAsia meraikan penerbangan sulungnya menggunakan pesawat FD470 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok ke Kota Kinabalu hari ini.

Laluan unik itu yang menandakan penerbangan pertama AirAsia Thailand ke Sabah merupakan bukti komitmen AirAsia untuk mengembangkan hab Kota Kinabalu.

Kategori
Nasional