Prasarana nafi laporan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan

"Sentiasa gigih dalam kerjanya, Masnizam telah memulakan beberapa langkah inovatif selaras dengan program penjimatan kos dan penambahan hasil di bawah satu inisiatif baharu bergelar 'Mencipta Prasarana 2.0',

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd menolak dakwaan bahawa tempoh perkhidmatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Masnizam Hisham dijangka tamat dalam masa terdekat atau beliau telah meletak jawatan.

Dalam kenyataan pada Khamis, Prasarana berkata ia mempunyai keyakinan penuh terhadap Masnizam dan kepimpinan beliau dalam menguruskan syarikat pengangkutan milik kerajaan itu dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak memegang tampuk pengurusan pada 18 Jan, 2018.

“Sentiasa gigih dalam kerjanya, Masnizam telah memulakan beberapa langkah inovatif selaras dengan program penjimatan kos dan penambahan hasil di bawah satu inisiatif baharu bergelar ‘Mencipta Prasarana 2.0’,” katanya.

Prasarana berkata sejak mula menyertai syarikat itu sebagai Ketua Jabatan Perundangan pada 2004 dan seterusnya dinaikkan pangkat secara merit kepada Ketua Jabatan Perolehan Kumpulan dan jabatan lain, Masnizam telah mempamerkan kecemerlangan dalam tugasan beliau, yang dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan kegigihan.

“Pihak Lembaga menyatakan rasa kesal dengan laporan media, yang mana pihak Lembaga merasakan berniat tidak baik dan tidak wajar khususnya tanpa menamakan sumber yang sahih.

“Pengurusan kanan Prasarana pada Jumaat lepas telah mengemukakan kepada pihak Lembaga satu laporan terperinci tentang projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3), yang kemudian dihantar kepada Menteri Kewangan untuk memberikan perspektif penuh mengenai projek tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional